KUALA LUMPUR, 25 Sept — Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memuji keputusan kerajaan meneruskan program subsidi upah kerana langkah itu dianggap positif bagi menstabilkan pasaran kerja dan mengelak pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Mengulas mengenai program Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas PRIHATIN (KITA PRIHATIN) yang baharu diperkenalkan oleh kerajaan, Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata pakej rangsangan bernilai RM10 bilion itu telah dapat memberi bantuan kepada majikan dan pekerja yang memerlukannya.

“Fasa pertama program subsidi upah pada awalnya dijadualkan berakhir pada 30 Sept, 2020. Namun, menerusi Program Subsidi Upah 2.0 yang baharu ini, kedua-dua majikan dan pekerja kini dapat bernafas dengan lebih baik.

“Ia memberi kami tiga bulan lagi bantuan kewangan yang dikehendaki sehingga Disember,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu, melancarkan program KITA PRIHATIN bernilai RM10 bilion yang merangkumi RM2.4 bilion untuk Program Subsidi Upah 2.0, bagi membantu rakyat Malaysia menangani kesan pandemik COVID-19.

Kira-kira 1.3 juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada program itu.

Syed Hussain berkata di bawah Program Subsidi Upah 2.0, majikan akan dapat mengekalkan pekerja mereka sehingga Mac tahun depan, dan ianya akan membantu mengurangkan kekangan aliran tunai dan liabiliti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here