TAWAU, 25 Sept  — Apabila permintaan terhadap perkhidmatan fisioterapi berkurangan ekoran pandemik COVID-19, Chu Wei Shyong runsing memikirkan nasib lima pekerja di bawah perniagaannya, Tawau Physiotheraphy Centre yang terletak di Batu 3, Kabota di sini.

Chu, yang menguruskan perniagaan itu lebih lima tahun lalu, seboleh-bolehnya tidak mahu memberhentikan pekerjanya kerana mengambil kira mereka semua rakyat Malaysia dan mempunyai tanggungan.

“Kira-kira 50 peratus perniagaan terjejas ekoran COVID-19 sehingga ke hari ini kerana perniagaan saya ini bergantung kepada pelanggan yang datang ke pusat perkhidmatan fisioterapi saya dan kos paling tinggi yang perlu ditanggung saya ialah gaji pekerja,” katanya kepada Bernama di sini.

Chu berkata pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Program Subsidi Upah menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada awal April, membolehkan syarikatnya menerima subsidi RM1,200 sehingga September ini bagi seorang pekerja, seterusnya dapat mengekalkan lima pekerjanya tanpa perlu melakukan pemotongan gaji atau notis cuti tanpa gaji, selain memberhentikan pekerja.

“Keputusan untuk memberikan notis cuti tanpa gaji apatah lagi membuang pekerja, amat berat untuk dilakukan kerana memikirkan mereka yang tidak mempunyai pendapatan langsung.

“Namun, terima kasih kepada pihak kerajaan kerana membantu rakyat, tidak mengira latar belakang dan memahami kesusahan yang dialami rakyat termasuk peniaga yang terjejas pendapatan,” katanya yang amat bersyukur dengan bantuan tersebut.

Baru-baru ini, perdana menteri melanjutkan bantuan terdapat dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) antaranya membabitkan Program Subsidi Upah serta Geran Khas Prihatin.

Bertepatan dengan situasi perniagaan yang kurang memberangsangkan, Chu berkata bantuan itu sekali lagi membawa kelegaan kepada peniaga kecil sepertinya.

“Pendapatan syarikat masih kurang apatah lagi ketika ini, kes terdapat di Tawau ini mendadak naik lebih 300 kes, ini membimbangkan.

“Dengan adanya bantuan pakej rangsangan 2.0 daripada perdana menteri baru-baru ini, dapatlah membantu perniagaan saya sekali lagi dan membantu rakyat,” katanya yang akan memohon kembali program subsidi upah itu demi pekerjanya.

Chu percaya semua rakyat merasai bantuan disalurkan kerajaan Persekutuan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here