PETALING JAYA,1 Okt: Kerajaan mengumumkan kawalan rentas daerah di Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata perkhidmatan perlu seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah.

“Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Bagaimanapun, perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) di 4 daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuat kuasa seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail berkata, maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam Covid-19 Negeri yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri.

Pada Isnin, PKPDB dilaksanakan di 4 daerah di Sabah susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Ismail berkata, PKPDB secara pentadbiran di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam hingga 12 Oktober depan melibatkan seramai 962,661 penduduk.

Dalam pada itu Ismail berkata, semalam polis menahan 98 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

Katanya, daripada jumlah individu yang ditahan itu 95 individu dikompaun dan 3 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (34), penjarakan fizikal (24), tidak memakai pelitup muka (22), gagal lunas caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (8),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here