KUALA LUMPUR,13 Okt: Suasana di perkarangan Istana Negara tenang apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara, pagi ini.

Tinjauan BH mendapati petugas media mula berkumpul di hadapan Pintu 2 Istana Negara seawal jam 8 pagi bagi membuat liputan Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan jumlah Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Anggota polis turut dilihat ditempatkan di Pintu 2 untuk berkawal di laluan yang dipercayai akan digunakan Anwar untuk masuk ke Istana Negara.

Anwar dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong sekitar jam 10 pagi ini bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan parti itu tidak menganjurkan sebarang perhimpunan di mana-mana tempat, terutama di jalan utama menuju Istana Negara sempena Anwar menghadap baginda.

Pada satu sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada 23 September lalu, Anwar mendedahkan mempunyai sokongan kukuh daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Katanya, beliau sudah mendapat perkenan untuk menghadap baginda sehari sebelum itu namun terpaksa ditangguhkan selepas Baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here