LANGKAWI, 23 Mei – Malaysia akan melaksanakan usaha niaga dalam pengeluaran bahan gred aeorangkasa bagi pasaran global serta menjadi pembekal kritikal bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk jangka panjang, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan menteri berkenaan Liew Chin Tong berkata kementerian akan terus menyokong segmen lain industri aeorangkasa seperti pembangunan pesawat laut dan dron komersial pemasangan tempatan untuk pelbagai operasi.

“Langkah ini bukan sahaja akan mengurangkan pengimportan peralatan berkaitan aeroangkasa, tetapi akan meluaskan eksport kita selain daripada bahagian dan komponen pesawat komersil,” katanya.

Pada majlis itu, Liew turut menyaksikan sembilan pertukaran dokumen melibatkan agensi MITI, pemain industri dan pemaju kluster aeroangkasa.

“Kerjasama itu menumpukan kepada SAF, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pembangunan profesional, penyelidikan dan teknologi, peningkatan rantaian bekalan tempatan, pensijilan kualiti aeroangkasa serta pembangunan ekosistem pesawat laut.

“Kami berharap agar Malaysia akan terus menjadi destinasi pilihan bagi perkongsian strategik dan kerjasama, pelaburan dan penyumberluaran kontrak.

“MITI dan agensinya komited untuk memudahkan aktiviti perniagaan di Malaysia dan akan membantu pelabur dan rakan kongsi berpotensi untuk melaksanakan sebarang projek pelaburan berdasarkan garis masa tertentu yang ditetapkan oleh pelabur,” katanya.

Liew berkata pembangunan ekosistem yang kondusif adalah penting untuk menarik pelaburan aeroangkasa berkualiti tinggi ke Malaysia dan mendorong pelaburan langsung domestik.

“Selain memperkasa rantaian bekalan tempatan, pelan pelaksanaan strategik diperlukan untuk memastikan bakat berkemahiran tinggi terus dibangunkan berdasarkan keperluan industri akhir-akhir ini,” katanya.

Berhubung Pusat MyAERO yang baru dilancarkan, beliau berkata pusat itu akan menjadi platform untuk menggalakkan kerjasama strategik antara pihak tempatan dan pemain global serta organisasi berkaitan yang membolehkan rakan kongsi meneroka peluang untuk meningkatkan akses pasaran dan bidang perniagaan baharu.

“Sementara itu, bagi menyokong keperluan daripada pemain tempatan untuk menjadi organisasi yang ditauliahkan dengan AS9100, baru-baru ini SIRIM QAS telah ditauliahkan oleh United Kingdom Accreditation Service (UKAS) sebagai Badan Pensijilan bagi Skim QMS Aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata pentauliahan SIRIM QAS sebagai badan pensijilan AS9100 adalah tepat pada masanya sebagai gerak balas terhadap pengembangan pantas ekosistem industri aeroangkasa di Malaysia sebagai peneraju sistem kualiti di negara ini.

Acara pertukaran dokumen itu antara lain melibatkan SIRIM dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) bagi pembangunan minyak mikroalga sebagai SAF; Malaysian Industrial Development Fund Bhd dan AMIC berkenaan Sijil Pelaksanaan Projek SAF; AMIC, Petronas Research Sdn Bhd dan Sarawak Economic Development Corporation Energy berkenaan ekosistem SAF, infrastruktur, loji SAF komersil; serta NAICO Malaysia dan Persatuan Teknologi Malaysia berkenaan profesional aeroangkasa dan pembangunan TVET.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here