KUALA LUMPUR, Nov 4: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjangkakan permohonan bantuan kebajikan meningkat sebanyak 3 kali ganda kepada 1.5 juta, susulan penetapan baru had pendapatan garis kemiskinan (PGK) nasional sejak Julai lalu.

Menterinya, Rina Harun berkata, had PGK nasional baru ialah RM2,208 berbanding RM980 yang diguna pakai sejak 2005.

Beliau berkata, penetapan had itu berdasarkan pengiraan mengikut metodologi pada 2019 yang melihat kepada realiti rakyat pada masa kini.

“Kadar kemiskinan negara meningkat kepada 5.6%, inilah realiti rakyat kita sekarang. Kita ambil kira dari segi aspek kehidupan dan pemakanan mereka (rakyat), memang saya menjangkakan lebih ramai lagi yang layak untuk memohon di bawah program bantuan kementerian.

“Setakat ini, hampir 400,000 penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, itu diambil kira daripada garis PGK RM980 sebelum ini,” katanya dalam rancangan “Temu Minda: Kebajikan Rakyat Dalam Cabaran Covid-19″ yang disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dengan menterinya, Saifuddin Abdullah menjadi hos rancangan itu.

Sementara itu, Rina berkata, ramai yang terjejas dari segi pendapatan ketika penularan pandemik, justeru KPWKM menyediakan kursus dalam talian untuk membantu rakyat yang ingin menjana pendapatan melalui perniagaan.

“Alhamdulillah…apabila mereka ubah cara perniagaan daripada konvensional atau biasa kepada dalam talian menampakkan perubahan, sekarang ramai yang duduk di rumah, jadi pembeli di hujung jari, ini mendatangkan pendapatan kepada mereka (peniaga dalam talian).”

Katanya, mulai bulan ini, KPWKM turut mengadakan program “Zero to Million” untuk membimbing wanita, terutamanya ibu tunggal yang ingin memulakan perniagaan.

“Kementerian mengambil inisiatif ini untuk membantu dan menjangkakan 100,000 wanita akan menyertainya (program Zero to Million).”

Sementara itu, pakar pengurusan pelaburan dan kewangan dalam pembangunan wanita, Jamelah Jamaluddin mencadangkan Bank Pembangunan Wanita diwujudkan bagi membantu golongan itu memulakan perniagaan.

“Justeru, KPWKM memainkan peranan penting untuk memberi bimbingan dan latihan kepada wanita yang mahu berniaga agar mereka tidak teragak-agak membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here