PETALING JAYA, 6 Nov: Tiga pakar ekonomi berkata, Malaysia memerlukan lebih banyak peraturan mesra perniagaan dan kurang birokrasi jika ia mahu terus menarik pelaburan asing langsung (FDI) dalam tempoh penularan wabak Covid-19.

Walaupun FDI ke Malaysia meningkat 3.1% kepada RM31.7 bilion (AS$7.6 bilion) pada 2019, jumlah itu hanyalah sebahagian kecil daripada AS$156 bilion yang diterima oleh negara Asean tahun lepas.

Bulan lepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan aliran FDI dunia jatuh hampir 50% pada separuh pertama 2020 berikutan kelembapan ekonomi yang diakibatkan oleh krisis kesihatan paling buruk abad ini yang menyebabkan pelabur bersikap lebih memilih.

Nazari Ismail dari Jabatan Dasar dan Strategi Perniagaan di Universiti Malaya berkata, Malaysia harus mengetepikan beberapa peraturan dan syarat berkaitan pelaburan yang memperlahankan proses dan menambah kos perniagaan.

“Sistem pelesenan tertentu melahirkan keadaan yang menyaksikan peraturannya dilihat melindungi sekumpulan kecil orang yang mempunyai hubungan politik,” katanya kepada FMT.

“Ia menyekat peluang golongan tanpa hubungan (politik) untuk memasuki industri tertentu, selain melemahkan sistem pasaran bebas, sekali gus menggugat kepentingan pengguna.

“Ini adalah peraturan dan syarat yang harus diketepikan.”

Nazari berkata, antara dasar lapuk yang perlu disemak semula termasuklah dasar berkaitan amalan pengambilan pekerja dan peraturan mengenai kandungan tempatan.

Beliau berkata, syarikat antarabangsa memerlukan fleksibiliti dalam operasi mereka, dan peraturan serta dasar yang menghalang syarikat mengambil pekerja terbaik atau mendapat input terbaik untuk pengeluaran akan memberi kesan ke atas minat pelabur asing.

 “Langkah Mida tepat”

Profesor ekonomi di Universiti Sunway Yeah Kim Leng memuji langkah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mengadakan hubungan lebih dekat dengan dewan perniagaan antarabangsa dan fokusnya terhadap pelaburan berkualiti dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan produk mahir.

Yeah berkata, walaupun Malaysia berjaya menarik pelaburann dalam kilang bijak, aeroangkasa, peralatan perubatan dan teknologi hijau, Mida memerlukan penyelarasan lebih baik dan sokongan daripada semua peringkat kerajaan jika negara ini mahu menjadi destinasi pelaburan utama.

“Kita perlukan ‘kemudahan cara dari awal ke akhir’ bagi membolehkan pelabur membina kemudahan pengeluaran dan menjalankan operasi dengan lancar.

“Ini akan membantu memupuk keyakinan pelabur yang melihat Malaysia sebagai syurga pelabur,” kata bekas ketua ekonomi agensi penarafan kredit RAM Holdings Bhd itu.

“Pujian harus diberikan kepada Mida kerana megambil langkah tepat, tetapi kita memerlukan kerja berpasukan kerajaan bagi mengatasi saingan daripada negara jiran.”

Yeah berkata, sokongan peringkat tertinggi kerajaan sangat penting bagi memastikan Mida berjaya menarik pelaburan domestik dan asing, sama seperti pentingnya persekitaran operasi yang sesuai.

Beliau berkata, kecekapan badan pusat, agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam mengeluarkan permit dan lesen memainkan peranan penting dalam memudahkan kegiatan perniagan.

Tarik lebih banyak pelaburan syarikat antarabangsa

Dalam pada itu ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, dasar yang baru diumumkan seperti sekatan pengambilan pekerja asing dan ekspatriat menggugat keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Ferlito berkata, jika negara ini mahu kekal kompetitif dalam menarik FDI dan syarikat antarabangsa (MNC) seperti sebelum ini, maka ia perlu “memulihkan” pendekatan mesra perniagaan yang diamalkan kerajaan lepas.

Beliau merujuk kepada insentif “hub utama” yang dilaksanakan oleh Mida sebagai contoh terbaik.

Skim itu mula diperkenalkan pada 2015 bagi menggalakkan MNC membina pangkalan serantau atau antarabangsa mereka di negara ini.

Mida meluluskan 35 projek hab utama dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM35.5 bilion di bawah insentif tersebut bermula Oktober 2019.

Projek hab itu berpotensi mewujudkan 2,700 pekerjaan bernilai tinggi.

Peraturan yang diperkenalkan tahun lepas membenarkan syarikat yang belum bertapak di Malaysia menikmati kadar cukai 0% selama 10 tahun jika mereka memenuhi kriteria di bahawa insentif hab.

“Malaysia sebuah negara yang kecil dan kehadiran MNC penting untuk kelangsungan ekonomi kita,” kata Ferlito.

“Malaysia perlu memulihkan semula semangat lepas dan biarkan perasaan takut yang dicetuskan oleh pandemik itu beredar pergi kerana syarikat asing memberi manfaat kepada semua pihak dengan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kita tidak mampu kehilangan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here