PASIR PUTEH, 14 Nov  — Tanaman cili merah yang ditanam secara fertigasi memberikan pendapatan lumayan kepada pasangan suami isteri yang mengusahakannya di belakang dan di halaman rumah mereka.

Mokhtar Zakaria, 58, berkata kejayaan itu hasil usahanya sendiri menginovasikan penggunaan baja organik dan proses penyemburan racun berasaskan alam sekeliling.

“Saya mengusahakannya sebanyak 1,300 pokok setiap musim iaitu sebanyak dua kali setahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jeram, di sini.

Mokhtar berkata,  beliau mengusahakannya sejak 2014 dibantu isterinya Suhaida Abdullah, 43, dengan modal awal sebanyak RM30,000 bagi perbelanjaan membeli pelbagai peralatan yang diperlukan.

Katanya, sejak mula mencebur diri dalam bidang pertanian itu sehingga  sekarang beliau dan isterinya banyak membuat penyelidikan sendiri tentang kesesuaian pokok terutama dalam penggunaan baja dan kaedah penyemburan racun serangga yang betul.

Menurut Mokhtar setiap musim beliau mampu memperolehi hasil antara tiga hingga enam tan dan pendapatan itu bergantung kepada kesempurnaan benih, serangan serangga, kulat dan keadaan cuaca.

“Saya pernah mengalami kerugian besar pada musim tengkujuh tahun 2016 apabila saya tidak dapat menyembur racun dalam tempoh seminggu tetapi kerugian itu tidak mematah semangat untuk mengerjakannya setiap tahun sehingga sekarang,” katanya. 

Hasil kegigihan itu Mokhtar pernah memenangi anugerah Inovasi Baja Organik Biomerah Peringkat Kebangsaan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional tahun 2018.

Mokhtar berkata sebelum ini beliau pernah bekerja kampung, sebagai buruh binaan, jaga dan kontraktor di Kuala Lumpur  dan pulang ke kampung  untuk mengerjakan tanaman berkenaan secara komersial.

“Di samping mengusahakan tanaman cili, saya juga berusaha menanam kunyit dan halia sebagai tanaman percubaan,” katanya.

Suhaida pula berkata, ketika mempunyai masa terluang beliau turut membantu suaminya dalam kerja-kerja meracun, membaja, menanam pokok dan mengutip buah sebelum dijual.

“Saya juga turut membantu suami dalam proses pengisian buah ke dalam bag plastik sebelum dijual kepada pemborong yang datang ke rumah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here