KUALA LUMPUR, 17 Nov — Menteri-menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bertanggungjawab bagi perdagangan bersetuju untuk mendorong integrasi ekonomi yang didorong pasaran dan berusaha menggerakkan agenda Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik  (FTAAP) yang akan menyumbang kepada usaha serantau yang komprehensif dan berkualiti tinggi.

Mereka menekankan kepada kepentingan peraturan yang disepakati dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang meningkatkan kebolehramalan pasaran, keyakinan perniagaan serta aliran perdagangan. 

“Kami akan terus berbincang secara membina mengenai isu-isu WTO, termasuk menyokong pembaharuan yang perlu bagi menambah baik fungsi-fungsinya,” kata para menteri dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri APEC ke-31 secara maya, hari ini.

Mereka juga menggesa agar rundingan WTO yang masih sedang berlangsung sekarang dipercepatkan, menjelang Persidangan Menteri-Menteri WTO ke-12 dan mengambil maklum saranan Majlis Penasihat Perniagaan APEC agar APEC terus menyokong sistem dagangan pelbagai hala. 

Para menteri menegaskan sebarang langkah-langkah perdagangan kecemasan yang diwujudkan bagi menangani pandemik COVID-19 perlu bersasar, setara, telus, sementara, tidak mewujudkan halangan kepada perdagangan yang tidak perlu dan selaras dengan peraturan WTO. 

Memandangkan pandemik menekankan peranan ekonomi digital, mereka meminta pegawai-pegawai kanan ekonomi APEC mempercepatkan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC serta mengalu-alukan Pelan Tindakan APEC mengenai Keterangkuman Kewangan Digital.

Menyatakan simpati atas kehilangan nyawa yang tragik dan kepada mereka yang menderita berikutan pandemik COVID-19, menteri-menteri komited untuk terus bekerjasama dan bertindak dengan pantas untuk memacu pertumbuhan yang berkualiti, melindungi kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

“Bersama-sama dalam perpaduan, kami menekankan kebimbangan kami mengenai impak daripada COVID-19 terhadap ekonomi membangun yang mudah terjejas,” katanya.

Malaysia, sebagai Pengerusi APEC 2020 melancarkan laman Pertukaran Terkini dan Segera Secara Maya mengenai COVID-19 atau COVID-19 LIVE dengan kerjasama Sekretariat APEC.

Laman web itu akan menjadi medium perkongsian maklumat dalam kalangan negara anggota APEC untuk meningkatkan kesiapsiagaan rantau ini terhadap pandemik dan rujukan penting pengalaman COVID-19 bagi ekonomi negara anggota.

Berhubung kerjasama ekonomi dan teknikal, menteri-menteri mengambil maklum mengenai keperluan yang berterusan untuk menambah baik langkah rangsangan bagi membantu pemulihan ekonomi.

“Kami menyambut baik usaha organisasi antarabangsa dan institusi kewangan dalam membantu gerak balas ekonomi APEC melalui krisis ini dan pemulihan,” kata mereka, sambil menambah bahawa komitmen ke arah kestabilan kewangan turut perlu diberi penekanan.

Berakhirnya Mesyuarat Menteri-Menteri APEC hari ini bakal menyaksikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC akan diadakan secara maya buat pertama kalinya pada Jumaat, 20 November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here