PETALING JAYA, Nov 18: Pakar ekonomi berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan bertujuan membantu rakyat dan perniagaan mengatasi kebimbangan jangka pendek daripada pandemik Covid-19.

Abu Sofian Yaacob dari Universiti Putra Malaysia berkata, belanjawan membantu golongan B40 dengan pelbagai insentif kerana mereka antara yang paling teruk terjejas dengan pandemik itu.

Namun, beliau memberitahu FMT, Putrajaya perlu menyesuaikan keutamaan perbelanjaannya menjelang pertengahan 2021, dengan mempertimbangkan semula insentif diperuntukkan kepada M40 dan komuniti perniagaan untuk terus merangsang ekonomi.

“Untuk jangka pendek, ya, belanjawan ini membantu rakyat dan syarikat. Tetapi, mereka juga perlu mencari penyelesaian jangka panjang. B40 mendapat banyak insentif, tetapi itu tidak boleh menjadi asas untuk jangka panjang.

“Mudah-mudahan, menjelang pertengahan tahun depan, vaksin akan siap dan ekonomi akan pulih, serta rakyat mempunyai pendapatan, tanpa mengira sumber apa, sama ada sambilan atau perniagaan mereka sendiri.

“Kemudian, saya rasa kita perlu menyesuaikan perbelanjaan kita semula. Tetapi, buat masa ini, memandangkan keadaan tidak pernah berlaku ini, (belanjawan) tidaklah teruk, malah dibandingkan dengan negara jiran lain.”

Di bawah Belanjawan 2021, Putrajaya memperuntukkan RM30 bilion untuk subsidi dan bantuan langsung kepada rakyat, termasuk Bantuan Prihatin Rakyat bagi individu berpendapatan hingga RM2,500 dan isi rumah hingga RM5,000.

Untuk B40, mereka boleh memilih sama ada moratorium pinjaman dilanjut 3 bulan atau potongan pembayaran semula sebanyak 50% selama 6 bulan. Untuk M40, terdapat juga bantuan pembayaran balik bagi pemohon.

Skim Insurans Pekerjaan juga ditambah baik supaya pekerja mendapat gaji sebanyak 4.2 kali ganda gaji terakhir mereka selama 9 bulan sambil mencari pekerjaan baru.

Beliau berkata, kerajaan harus menggalakkan industri mikroekonomi, sektor mudah disertai rakyat menganggur, dan kerjasama dengan sektor swasta boleh mewujudkan pekerjaan.

“Sebagai contoh, dalam perkhidmatan kurier, ada banyak syarikat yang mencari pekerja kerana mereka mempunyai banyak perniagaan. Ketika ini, pendapatan mungkin tidak tinggi, tetapi sekurang-kurangnya ada pendapatan.

“Kita tidak mengabaikan ekonomi tradisional, tetapi kita mara sejajar persekitaran baru. Kita perlu berinovasi dan membuat penyesuaian untuk memastikan kelangsungan hidup kita.”

Katanya, ini juga akan merangsang ekonomi dengan memberikan rakyat pendapatan boleh guna yang akan memberi pulangan kepada ekonomi ketika dibelanjakan, di samping menjana pendapatan untuk Putrajaya melalui cukai.

Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata, belanjawan itu dibuat khususnya untuk menyelesaikan masalah jangka pendek, tetapi beliau bimbang dengan hutang yang akan ditanggung kerajaan kerana ia boleh menimbulkan masalah lebih teruk kelak.

Katanya, semua orang nampaknya mengharapkan Putrajaya menyelamatkan mereka, ketika keadaan hutang kerajaan sudah tinggi, dengan belanjawan yang dijangka meningkatkan hutang hampir RM1.2 trilion.

Beliau berkata, walaupun tanpa pandemik, beliau tidak terkejut jika belanjawan tahunan itu adalah defisit berikutan trend pinjaman kerajaan selama ini.

“Tetapi, cepat atau lambat, kos pembayaran hutang akan terlalu tinggi dan kerajaan akan berdepan kesukaran serta mungkin terpaksa melaksanakan beberapa bentuk GST (cukai barang dan perkhidmatan) untuk menampung perbelanjaan,” katanya kepada FMT.

“Itu sebabnya kita semua perlu memikirkan bagaimana kita dapat mewujudkan situasi di mana kerajaan dapat mengelakkan belanjawan defisit pada masa depan, supaya hutang terkumpul kita dapat dikurangkan dan diharapkan dapat dihapuskan sepenuhnya.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here