PETALING JAYA,Nov 18: Dua saintis politik bersetuju dengan satu tinjauan yang mendapati Muhyiddin Yassin mendapat sokongan popular meluas, tetapi partinya, PPBM, kurang tarikan pengundi dan beliau memerlukan bantuan parti lain untuk terus berkuasa.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Muhyiddin perlu terus menggunakan pendekatan “ganjaran dan hukum” serta “pecah dan tawan” untuk PPBM mengharungi kebuntuan politik semasa.

Azmi Hassan, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia berkata, tinjauan itu menunjukkan rakyat kurang yakin terhadap PPBM sebagai parti yang boleh mentadbir negara tanpa bantuan lain.

Kedua-dua penganalisis itu memberikan respons mereka terhadap penemuan satu tinjauan pendapat yang dijalankan badan pemikir Emir Research.

Tinjauan yang dikeluarkan Isnin lalu menunjukkan 65% daripada 2,000 responden memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri pilihan mereka. Namun, PPBM hanya mendapat 8.3% sokongan, jauh di belakang 42.8% untuk Umno dan 15.5% buat PAS.

Oh berkata, hasil itu menunjukkan PPBM “sangat kekurangan” dari segi ideologi kuat yang boleh menawan hati lebih ramai rakyat kerana ia hanya digunakan sebagai alat kemudahan politik, pertama untuk membantu Dr Mahathir Mohamad dan kemudian pembelot dari Pakatan Harapan.

Beliau menolak dapatan tinjauan itu mengenai populariti Muhyiddin kerana ia dibuat Ogos lalu dan tidak mengambil kira kejadian seperti cubaan mengisytiharkan darurat dan lonjakan kes Covid-19 di Sabah, yang menjejaskan reputasi kerajaan dengan serius.

Katanya, Muhyiddin “masih meningkat” ketika tinjauan itu dilakukan kerana penurunan jumlah jangkitan Covid-19, pembukaan ekonomi secara berperingkat dan pemberian bantuan kepada mereka yang teruk terjejas akibat sekatan pergerakan.

“Mahathir dan Anwar Ibrahim, tidak berada dalam kerajaan, sudah tentu tidak boleh mendapat kredit daripada peristiwa yang berlaku, tetapi kemudian membenam euforia popular itu.”

Azmi bersetuju hasil tinjauan itu akan berbeza jika dibuat hari ini. Kejadian yang berlaku menggambarkan Muhyiddin secara negatif, tetapi beliau percaya Muhyiddin masih tetap menjadi pilihan sebagai perdana menteri, “cuma tidak setinggi 65%”.

Beliau berkata, rakyat menganggap Muhyiddin sebagai pilihan lebih baik daripada 2 calon lain – Mahathir, yang dipersalahkan kerana letak jawatan dan membenarkan PN mengambil alih, serta Anwar, dilihat tidak berhenti mengejar impiannya untuk menjadi perdana menteri.

Azmi berkata, kekurangan sokongan PPBM berpunca daripada perbalahan dalaman parti itu “sejak Muhyiddin kali pertama mengambil alih dan sehingga hari ini”. Ahli Kabinet PPBM dianggap kurang berprestasi berbanding seteru mereka, khasnya dari Umno.

“Tidak syak lagi, Muhyiddin memerlukan parti lain untuk terus bertahan, dan keputusan Pilihan Raya Negeri di Sabah jelas menunjukkan kesusahannya,” katanya sambil menambah satu-satunya jalan untuk PPBM memenangi pilihan raya umum akan datang adalah bekerjasama dengan Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here