KUALA LUMPUR, 21 Nov — Pembudayaan norma baharu dalam kehidupan harian sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 menyebabkan platform media sosial menjadi tumpuan, terutamanya apabila negara melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas, bagi mengekang penularan penyakit tersebut.

Peningkatan penggunaan teknologi itu bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah dalam pentadbiran kerajaan juga yang melaksana pelbagai program secara dalam talian, termasuk mempromosi Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020.

Berkongsi amalan norma baharu itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari berkata, agensi itu selaku Pengerusi Jawatankuasa program KLWBC 2020 memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube, bagi menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata pelbagai program telah, sedang dan akan dijalankan DBP, melalui platform media sosial termasuk mengadakan kempen melalui video pesanan khidmat awam, dengan kerjasama pelbagai pihak.

“DBP memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial. Media sosial menjadi medium utama bagi kami (DBP) mempromosikan KLWBC 2020, dengan memuat naik pelbagai bahan bacaan berkonsep santai dan didik hibur, bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini. 

Menerusi slogan ‘KL Baca: Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan’, KLWBC 2020 yang dilaksanakan selama setahun bermula 23 April lepas sehingga 22 April 2021, menjadi titik tolak gelombang pembacaan dan keprihatinan melalui pengupayaan buku.

Acara perasmian KLWBC 2020 pada April lepas diadakan secara maya, bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.

Berpuas hati dengan perkembangan KLWBC 2020, Hazami berkata tahap kesedaran masyarakat mengenai program dapat dinilai menerusi jumlah pengikut media sosial yang menularkannya, selain dikongsi oleh netizen.

Sebagai contoh katanya, pantun mengenai sambal yang mengaitkan wanita dan kemahiran menumbuk sambal, berjaya mendapat capaian 2.6 juta carian, manakala Facebook langsung ‘Loghat Kedah: Uniknya di Mana?’ yang menampilkan pelakon serta pelawak terkenal tanah air Mazlan Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Lan Pet Pet, mencapai 117,938 tontonan.

“Poster peribahasa juga mendapat ciapan sehingga 6,300. Ini mendorong kepada peningkatan pembacaan masyarakat terhadap warisan pantun, peribahasa dan simpulan bahasa, yang dikongsi DBP melalui media sosial,” kata Hazami dan menambah sehingga kini DBP memuat naik 204 warisan pantun sejak Mac lepas ,merangkumi bidang kesihatan, ekonomi, sosial, komunikasi, teknologi maklumat dan sebagainya.

Senada dengan Hazami, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Maizan Ismail turut berkongsi perkembangan KLWBC 2020, yang sehingga kini lebih 200 program serta aktiviti telah dijalankan dengan 69 daripadanya di bawah seliaan PNM sejak Januari lepas.

Antara program berskala besar dijalankan PNM sehingga November adalah Program ‘Read Me a Book: ASEAN-ROK Is Reading’; Projek Rintis Program ‘Reading Seeds’; Pertandingan Penulisan Menempuh COVID-19: Suatu Pengalaman, Pertandingan Mencipta Puisi COVID-1; Festival KLWBC 2020; Minggu Digital PNM dan Anugerah Buku PNM.

Sementara itu katanya, antara program dalam talian PNM adalah Kempen ‘Sila Duduk Di Rumah dan Baca Buku’; eJom Baca Bersama 2020; Bacaan Kegemaran Saya; Program Literasi Media dan Maklumat Perdana@PNM Maya; dan Karnival Semarak Jawi Maya.

Maizan berkata pandemik COVID-19 tidak merencatkan gerak kerja KLWBC 2020 sebaliknya mengubah trend masyarakat membaca, yang kini beralih ke platform media sosial melalui Perkhidmatan u-Pustaka dan Perpustakaan Digital, dengan mengakses 13.2 juta bahan bacaan digital secara percuma 24 jam sehari di http://www.u-pustaka.gov.my.

Mengenai usaha meningkatkan budaya membaca, beliau berkongsi pendekatan yang diambil adalah dengan mewujudkan 65 kiosk KLWBC 2020 di 19 kawasan terpilih di Kuala Lumpur, iaitu di Titiwangsa, Bukit Bintang dan Lembah Pantai atas inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Buku (Mabopa) Arief Hakim Sani Rahmat yang juga sekretariat KLWBC 2020 memaklumkan, pihaknya menjalankan kerja promosi seperti transformasi Pesta Buku Kebangsaan menjadi pesta buku dalam talian, dengan melantik platform e-dagang, Shopee sebagai rakan strategik.

“Pandemik COVID-19 berjaya membawa kepada transformasi dari segi jualan buku maka ‘e-dagang’ menjadi saluran pemasaran utama ketika ini,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here