PETALING JAYA, 26 April – Peranti pasang dan pakai yang dibangunkan di Malaysia, StarSentry, menyasarkan untuk menyediakan penyelesaian keselamatan siber kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan pada harga yang berpatutan.

Peranti yang akan dilancarkan menjelang Jun depan telah dibangunkan oleh LGMS Bhd serta subsidiarinya, Applied Security Intelligence (ASI) dengan kerjasama Dell Technologies OEM Solutions dan Intel Malaysia.

Pengerusi Eksekutif LGMS Bhd Fong Choong Fook berkata banyak PKS tidak menyedari keselamatan siber boleh menjejaskan perniagaan mereka sehingga mereka dicerobohi oleh penjenayah siber.

 Sesetengah PKS tidak berkemampuan dalam menangani soal keselamatan siber kerana bajet mereka yang agak terhad berbanding organisasi besar yang boleh melabur dalam mekanisme pertahanan siber.

“Banyak organisasi tidak menyedari penyelesaian yang paling sesuai bagi mereka kerana mereka tidak mengetahui punca masalah. 

“StarSentry membantu dengan menangani masalah teras terlebih dahulu dan menyediakan penyelesaian untuk mencegah serangan siber pada masa hadapan,” katanya selepas pratonton peranti StarSentry di sini hari ini.

Fong ketika mengulas mengenai prospek industri keselamatan siber berkata sektor itu sedang berada dalam trend positif disebabkan oleh Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 di Parlimen dan kesedaran yang semakin meningkat tentang keselamatan maya.

“Lebih ramai orang mula menyedari bahawa keselamatan boleh mengganggu perniagaan secara serius jika kita mengambil mudah. Pendigitalan hanya akan berjaya jika asasnya diperkukuhkan,” katanya sambil menambah kerajaan MADANI juga menyokong pendigitalan dalam kalangan PKS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here