KUALA LUMPUR, 1 Dis  — Pengurus projek perlu lebih kreatif dan inovatif dengan meneroka cara baharu mencipta nilai selain penyampaian projek walaupun ketika mereka menerapkan norma baharu dalam amalan pengurusan projek dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan berikutan penutupan sempadan yang membawa kepada penurunan produktiviti dan seterusnya menyebabkan kelewatan dalam penyiapan projek. 

“Oleh itu, permintaan terhadap rantaian bekalan dan organisasi digital yang lebih terhubung dalam memperkasakan industri pengurusan projek di seluruh dunia telah menjadi suatu yang amat penting.  

“Bagaimana pengurus projek bertindak balas kepada cabaran ini sudah pastinya akan menentukan masa depan disiplin ini ketika kita berusaha melaksanakan pengurusan projek yang lebih cekap dan berkesan dalam menangani krisis akan datang seperti yang kita sedang hadapi sekarang,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Pengurusan Projek Antarabangsa (IPMC) 2020, di sini, hari ini. 

Fadillah juga berkata COVID-19 telah mempercepat peralihan paradigma dalam pengurusan projek di negara ini dengan SOP yang ketat akan diguna pakai dan memastikan kesihatan serta keselamatan tenaga kerja terus diberi keutamaan.

“Keadaan mencabar ketika ini bukanlah alasan untuk mengabaikan tadbir urus projek. Bagi mematuhi SOP, kerajaan telah mewujudkan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU), yang fungsi utamanya adalah memangkinkan pelaksanaan dan penyelarasan projek yang diluluskan menerusi sistem digital bagi pemantauan kemajuan masa nyata,” katanya. 

Fadillah berkata kementerian beliau komited ke arah memudahkan pelaksanaan projek dalam membantu perancangan projek yang cekap. 

“Pelaksanaan itu dipacu oleh lima teras strategik yang merangkumi pembangunan dan penyenggaraan prasarana awam, pengukuhan industri pembinaan dan pemain utamanya, peningkatan berterusan pengurusan organisasi dan perkhidmatan sokongan,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga mempersiapkan pemain pembinaan bagi landskap pengurusan projek disruptif menerusi latihan dan pentauliahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here