KUALA LUMPUR, 1 Dis — Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) memohon agar pelbagai cukai yang dikenakan ke atas industri minyak sawit ditangguhkan atau dihapuskan, sambil menyifatkannya sebagai “tidak adil”.

Cukai yang dimaksudkan itu adalah hasil kutipan cukai keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit mentah (MSM), 7.5 peratus cukai jualan di Sabah bagi penjualan MSM, dan lima peratus cukai jualan di Sarawak bagi jualan MSM serta minyak isirung sawit (CPKO).

Dalam satu kenyataan hari ini, MEOA menyifatkan sektor minyak sawit sebagai sektor yang paling banyak dikenakan cukai di dalam negara selain daripada “sektor dosa” yang termasuklah perjudian, tembakau dan alkohol.

“Secara kolektif, cukai ke atas industri minyak sawit dianggarkan berjumlah RM1.3 bilion pada 2019 ketika harga MSM rendah, pada purata RM2,079 satu tan.

“Berdasarkan kepada angka pengeluaran tahun 2019 dan dengan mengandaikan harga MSM kekal pada RM3,200 satu tan, MEOA menjangkakan cukai-cukai ini boleh melambung kepada RM2.8 bilion setahun,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dalam temu bual bersama Bernama minggu lepas menyatakan pelaksanaan cukai keuntungan luar biasa ke atas syarikat pengeluar sarung tangan adalah dasar yang tidak konsisten yang  akan membuatkan para pelabur berfikir dua kali sebelum melabur di dalam negara.

Semalam, pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata kutipan WPL mungkin boleh mencapai sekitar RM500 juta pada 2021 jika harga MSM mencatat antara RM3,000 hingga RM3,500 setan metrik.

“Dalam kata lain, kutipan WPL daripada sektor minyak sawit tahun hadapan boleh mengatasi RM400 juta yang disumbangkan oleh beberapa syarikat pengeluar sarung tangan kepada Tabung COVID-19,” katanya.

Sementara itu, MEOA menggesa agar kerajaan negeri Sarawak untuk menyemak kembali cukai jualan ke atas MSM dan CPKO dengan tujuan untuk mengurangi ataupun menghapuskannya.

“Cukai-cukai ini ke atas pendapatan dan bukannya keuntungan, membebankan kelestarian operasi minyak sawit, terutamanya ketika harga MSM rendah, dan kepada penanam di Sarawak yang kebanyakannya bermula agak lewat berbanding penanam di Semenanjung Malaysia atau Sabah dalam penuaian minyak sawit,” katanya.

Untuk Sabah pula, persatuan itu memohon agar kerajaan negeri mempertimbang kemungkinan menurun atau menghapuskan 7.5 peratus cukai jualan MSM, yang dianggar bernilai RM791 juta tahun lepas.

Memandangkan cukai itu adalah ke atas hasil berbanding keuntungan, mengikut pengiraan MEOA, jumlah itu melebihi 44 peratus daripada keuntungan ekonomi pada 2019 ketika harga MSM rendah.

MEOA berkata selama bertahun-tahun, sektor kelapa sawit telah mengubah Malaysia menjadi pemacu utama dalam pasaran minyak boleh dimakan global.

Pada masa yang sama, ia turut memelihara ekonomi negara serta kekal menjadi tonggak ekonomi yang sangat diperlukan dalam lanskap sosial-politik, terutama dalam membawa pembangunan dan mewujudkan kesejahteraan di kawasan luar bandar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here