PUTRAJAYA, 31 Dis– Tourism Malaysia bersama-sama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Shopee Malaysia telah berganding bahu dalam menghidupkan semula ekonomi dan rantaian bekalan pelancongan menerusi Kempen “Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experience Malaysia Like Never Before”.

Kempen di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) ini akan bermula pada 31 Disember sehingga 31 Mac 2021 dan akan menawarkan e-baucar menarik kepada para pembeli. Pembeli akan dapat menebus e-baucar RM50 dengan pembelian penginapan minima tiga hari dua malam di hotel satu hingga tiga bintang, atau e-baucar RM100 dengan pembelian penginapan minima tiga hari dua malam di hotel empat atau lima bintang di seluruh negara. E-baucar hanya boleh ditebus oleh rakyat Malaysia dan adalah layak untuk digunakan sekali sahaja berdasarkan terma dan syarat ‘first come first serve’. Pembayaran boleh dibuat menggunakan ShopeePay, kad debit atau kad kredit. 18,750 pembeli terawal juga akan menikmati baucar tambahan RM20.

Encik Zulkifly Md. Said, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, “PRE 1.0 bertujuan untuk menarik rakyat Malaysia untuk melancong secara domestik dan pada masa yang sama menyokong industri perhotelan dalam menjana pendapatan dan mengekalkan perniagaan. Hasil daripada ini akan memberi kesan yang berlipat ganda dan akan membantu menghidupkan semula ekonomi negara kita.”

Encik Yap Lip Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia pula berkata, “MAH mempunyai lebih dari 400 hotel dari satu hingga lima bintang di seluruh negara yang sudah pun menawarkan harga-harga istimewa. Susulan daripada itu, rakyat Malaysia kini dapat memanfaatkan e-baucar yang ditawarkan oleh pihak kerajaan. Peluang ini sememangnya tidak boleh dilepaskan, dan saya berharap hasilnya akan memberi sedikit harapan bagi industri perhotelan Malaysia yang amat terkesan akibat pandemik ini.”

“Kini, Malaysia telah beralih ke fasa pemulihan ekonomi. Tourism Malaysia dan Persatuan Hotel Malaysia menggalas tanggungjawab yang berat dalam memastikan industri pelancongan dapat dihidupkan kembali. Sebagai platform yang mengutamakan keperluan komuniti tempatan, Shopee juga ingin memberi sokongan dan sumbangan. Kami akan menggugurkan semua komisen dan caj transaksi di platform kami bagi kempen ini sebagai dorongan tambahan buat para pemain industri. Bersama-sama dengan e-baucar menarik yang ditawarkan oleh pihak kerajaan, kami yakin industri perhotelan akan kian pulih,” kata Encik Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berharap program-program dan inisiatif yang telah dirancang dapat membantu menghidupkan semula sektor pelancongan domestik dengan kerjasama semua pihak yang terlibat untuk kelangsungan ekonomi negara.

Untuk maklumat lanjut tentang “Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experience Malaysia Like Never Before”, layari https://shopee.com.my/m/jom-cuti-cuti-malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here