ARAU, 1 Jan — Sebuah Monumen Dua Dekad Pemerintahan Raja Perlis dan sebuah Rumah Warisan kini menjadi tarikan terbaharu kepada pengunjung Arau.

Kedua-dua monumen itu yang dibina hasil inisiatif sebuah syarikat swasta sebagai mengenang jasa Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Pengarah Urusan Ummul Travel Sdn Bhd Rizwan Ahamad Badrudin berkata, pihaknya mengambil inisitif tersebut sebagai rakyat negeri Perlis yang merasakan jasa Raja Perlis yang memerintah negeri ini, perlu dikenang dan diabadikan.

“Monumen ini dibina agar ia menjadi kenangan kepada rakyat negeri ini,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Dua Dekad Pemerintahan Raja Perlis bermula tahun 2000 hingga hari ini Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, di tapak Stesen Kereta Api lama di sini hari ini yang dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Rizwan berkata, turut dibina pada tapak kereta api lama milik Perbadanan Kemajuan Aset Kereta Api (RAC) itu ialah dua buah rumah tradisional Melayu yang dikenali  sebagai Rumah Warisan. 

“Saya melihat budaya orang masa kini suka bergambar dan mahu balik kepada benda lama, dan saya mahu kembalikan nostalgia zaman silam dengan mempamerkan gambar-gambar sejarah di Perlis di dalam rumah warisan ini selain meletakkan kenderaan lama seperti basikal antik di halaman rumah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here