TUMPAT, 3 Jan — Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memperuntukkan RM580,000 bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan, dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak mereka, melalui program tanggungjawab sosial korporat, iaitu ‘Back To School’ pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sumbangan yang antaranya berbentuk baucar bernilai RM100 itu akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 penerima, yang terdiri daripada golongan petani, penternak dan nelayan, di seluruh negara.

“NAFAS akan mengagihkan sumbangan ini secara berperingkat kepada mereka yang layak dan ia dijangka selesai sebelum bermulanya sesi persekolahan pada 20 Jan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Back To School Peringkat Parlimen Tumpat anjuran NAFAS, yang diadakan di Dewan Maktab Rendah Sains Mara di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Wan Hamat dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Nazilah Abd Latif.

Che Abdullah turut berkata bagi peringkat Parlimen Tumpat, NAFAS telah memperuntukkan RM45,000 yang disalurkan kepada 450 orang dengan memberi sumbangan baucar pembelian barangan sekolah bernilai RM100, seorang.

“NAFAS sentiasa prihatin dan mengambil berat bagi meringankan beban keperluan keluarga berpendapatan rendah, terutamanya dalam mendepani situasi semasa di mana pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

“Saya berharap melalui sumbangan ini dapat meringankan beban golongan yang memerlukan, untuk membuat persiapan awal persekolahan anak-anak mereka,” kata Ahli Parlimen Tumpat itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here