PETALING JAYA, 8 Jan: Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN)Annuar Musa berkata, beliau tidak sesekali akan berputus asa dalam usaha merapatkan pemimpin dan parti Melayu yang bertelagah, walaupun menyedari ia bukanlah jalan yang mendapat sokongan ramai pihak.

“Mereka mungkin tidak selesa dengan pendirian saya, namun saya yakin lama kelamaan ramai akan mula memahami. Saya tidak akan berputus asa merapatkan antara yang bertelagah.

“Menjadi jambatan antara dua jurang, supaya pemimpin Melayu bersatu, membela kepentingan rakyat,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Umno menggantikan Annuar dengan Ahmad Maslan sebagai setiausaha agung BN dan juga wakil parti itu dalam sekretariat Muafakat Nasional.

Annuar yang dilihat mesra Perikatan Nasional (PN) dan PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin kerap berdepan kritikan pemimpin Umno yang melihat beliau lebih cenderung mempertahankan PN dan mengabaikan kepentingan Umno.

Annuar, yang juga merupakan ketua Umno Ketereh berkata, parti boleh menyingkirkannya daripada sebarang kedudukan, tetapi tidak sesekali dapat membuang pemikirannya bahawa orang Melayu perlu bersatu.

“Parti-parti (harus) Melayu berpadu dan saya mahu Umno memimpin penyatuan dan menunjangi permuafakatan nasional,” katanya.

Katanya, kenyataan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sebelum ini yang mendakwa beliau berkata bahawa penolakan Umno terhadap PPBM adalah disebabkan keengganan kerajaan PN menggugurkan kes mahkamah adalah tidak tepat.

“Aduh, saya tidak fikir begitu. Rakyat memahami campur tangan kerajaan dalam hal mahkamah dan judisiari tidak harus berlaku.

“Umno menghormati undang-undang dan prinsip pengasingan kuasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here