PETALING JAYA,Jan 14: Menteri Kanan (Ekonomi) Azmin Ali akan memfailkan permohonan membatalkan saman terhadapnya oleh 10 pengundi di Parlimen Gombak.

Peguamnya, Nizamuddin Abdul Hamid, memaklumkan perkara itu selepas pengurusan kes hari ini di depan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Kami memaklumkan pendaftar bahawa kami akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan kerana ia tindakan yang remeh,” katanya kepada pemberita.

Nizamuddin turut berkata, pembelaan juga memaklumkan mahkamah mengenai gambaran salah diberikan peguam plaintif kepada pemberita bahawa “kononnya dokumen diserahkan kepada pelanggan kami serta kegagalannya hadir ke mahkamah untuk pengurusan kes sebelum ini.”

“Berdasarkan afidavit serahan difailkan peguam dan dilihat kami, jelas writ mahupun pernyataan tuntutan tidak diserahkan secara peribadi kepada pelanggan kami, atau sesiapa yang diberi kuasa oleh defendan untuk menerimanya bagi pihaknya,” katanya.

Mahkamah menetapkan 16 Feb untuk sebutan seterusnya, sementara menanti pemfailan permohonan pembatalan saman itu.

Bekas timbalan presiden PKR itu memenangi kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei 2018 dengan majoriti 48,721 undi dalam pertandingan tiga penjuru, ditentang Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Sepuluh pengundi terbabit memohon deklarasi bahawa Azmin sebagai pemegang amanah mempunyai kewajipan fidusiari kepada mereka sebagai wakil yang dilantik.

Mereka juga mahukan perisytiharan bahawa Azmin melakukan penipuan terhadap mereka dan beliau memungkiri sumpah Perlembagaan mengikut Perkara 59(1), yang dibaca bersama Jadual Keenam Perlembagaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here