PETALING JAYA,26 Jan: Kerajaan akan menjadikan Kem Bina Negara, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan beberapa kemudahan bersesuaian sebagai depoh imigresen serta pusat tahanan sementara secara sewaan.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali berkata, hanya tahanan dengan kesalahan ringan akan ditempatkan di pusat tahanan sementara itu untuk memastikan penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Katanya, 15 kem PLKN dan Kem Wawasan Negara di Langkawi dikenal pasti untuk tujuan itu, sementara polis sedang berunding dengan pemilik kemudahan lain yang sesuai untuk dijadikan lokap sementara.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat dan dipersetujui sidang darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan agensi keselamatan seperti tentera, polis dan Rela untuk ditempatkan sementara bagi menjamin kawalan keselamatan yang ketat,” katanya dalam kenyataan.

Zuki berkata, bangunan dan fasiliti kerajaan yang bersesuaian di seluruh negara akan dijadikan pusat ujian swab sebagai sebahagian usaha mobilasi sumber kerajaan dalam usaha memerangi Covid-19.

Katanya, kakitangan kerajaan juga akan ditempatkan sementara ke lokasi yang memerlukan perkhidmatan tambahan untuk tujuan kesihatan dan keselamatan.

“Jabatan Perkhidmatan Awam akan bertanggungjawab menyelaras perkara ini bersama Kementerian Kesihatan dan kementerian, jabatan, agensi lain yang terlibat.”

Beliau berkata, Kementerian Kewangan, KKM, Bank Negara Malaysia dan industri insurans sedang memperhalusi mekanisme pembiayaan insurans untuk kos rawatan pesakit Covid-19 di hospital swasta.

“Buat masa ini, peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit Covid-19 yang mampu membiaya sendiri kos perubatan dan rawatan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here