JAKARTA, 3 Mei — Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto merancang untuk menubuhkan sebuah kelab presiden dengan matlamat untuk mengadakan perbincangan dalam kalangan bekas presiden termasuk  Megawati Soekarnoputri, Susilo Bambang Yudhoyono dan Presiden Joko Widodo yang akan bersara nanti.

Menurut jurucakapnya, Dahnil Anzar, kelab presiden itu akan menyediakan sebuah platform untuk Prabowo dan Naib Presiden Terpilih Gibran Rakabuming Raka untuk mendapatkan pandangan daripada pemimpin sebelum mereka. 

“Kelab Presiden, walaupun bukan sebuah institusi rasmi akan menggalakkan perjumpaan tetap untuk bekas presiden membincangkan isu penting negara, menggalakkan perpaduan sebagai contoh,” katanya  sepertimana  dipetik oleh portal berita investor.id hari ini.

Dahnil berkata inisiatif ini menggariskan kepentingan perpaduan biarpun terdapat perbezaan politik, terutamanya selepas Pilihan Raya Presiden 2024. 

“Prabowo berharap sebagai sebuah negara yang hebat, pemimpinnya bersatu padu, harmoni dan bekerja untuk kepentingan rakyat tanpa mengira perbezaan politik,” katanya.  

Ditanya mengenai rancangan itu selepas melawat pameran kenderaan elektrik di Jakart Pusat, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi menyokong cadangan Prabowo dan mencadangkan perjumpaan boleh diadakan dengan kerap, kemungkinan setiap dua hari.

Seorang ahli politik kanan daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP)  Hendrawan Supratikno berkata cadangan Prabowo adalah baik tetapi ia perlu diperhalusi. 

Bercakap kepada media Indonesia, beliau berkata:” Jika ia hanya untuk perhimpunan sosial atau perbincangan paras tinggi mengenai isu strategik negara, kami perlu lebih maklumat.” 

Bagaimanapun, beliau percaya Megawati Soekarnoputri, Pengerusi PDIP dan Presiden Kelima Indonesia itu  akan menyokong inisiatif yang akan memberi manfaat kepada kepentingan negara. 

Pada 23 April lepas, parti terbesar Indonesia, PDIP mengumumkan Jokowi dan anaknya Gibran bukan lagi ahli parti itu selepas mereka menyokong calon lawan, Prabowo dalam Pilihan Raya Presiden baru-baru ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here