MELAKA, 27 Jan — Kerajaan Negeri Melaka membenarkan maksimum 500 orang untuk menghadiri solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat bermula esok, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata kebenaran menunaikan solat sehingga kapasiti maksimum 500 jemaah itu adalah antara perkara yang ditambah baik selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Melaka dilanjutkan sehingga 4 Feb depan.

“Jumlah kehadiran untuk aktiviti yang dibenarkan adalah maksimum 500 jemaah bagi masjid kerajaan, maksimum 250 jemaah bagi masjid kariah dan institusi dan maksimum 75 orang bagi surau dengan kesemuanya tertakluk kepada penjarakan fizikal satu meter.

“Bagi mendoakan keselamatan serta agar negeri Melaka dan Malaysia dilindungi daripada wabak penyakit, masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan membaca qunut nazilah selepas solat Jumaat selama tiga minggu bermula dari Jumaat, 29 Jan 2021,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sulaiman berkata antara perkara lain yang dibenar dilakukan di masjid ialah kuliah Maghrib serta bacaan surah Yassin dan tahlil pada hari Khamis malam Jumaat manakala penceramah dari luar Melaka masih belum dibenarkan berceramah serta kuliah dan program selain kuliah Maghrib hendaklah ditangguhkan.

Beliau berkata selain itu, perkhidmatan permohonan kebenaran berkahwin, temu duga perkahwinan Islam, pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk serta urusan pentadbiran yang berkaitan seperti carian sijil nikah, cerai dan rujuk akan dibuka melalui janji temu manakala perkhidmatan khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan akan dijalankan secara dalam talian atau bersemuka melalui janji temu.

Katanya dalam tempoh PKP ini juga, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan lokasi di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi kariah yang berada dalam zon jingga dan merah, masjid bagi kariah yang berada dalam zon kuning dan hijau atau mana-mana lokasi yang dibenarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Kehadiran ke majlis akad nikah di PAID terhad kepada lapan orang sahaja iaitu jurunikah/pendaftar, wali, pengantin lelaki dan perempuan, dua saksi dalam kalangan pegawai syarak dan dua ahli keluarga pengantin lelaki dan perempuan.

“Kehadiran majlis akad nikah yang dijalankan di masjid kariah atau lokasi yang ditetapkan JAIM pula ialah 15 orang sahaja manakala tempoh majlis akad nikah tidak melebihi 20 minit termasuk bacaan khutbah nikah dan taklik,” katanya.

Sulaiman berkata bakal pengantin dari zon merah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dengan keputusan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah manakala pengantin dari luar Melaka perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri daripada polis.

Beliau berkata antara yang masih ditangguhkan ialah kursus praperkahwinan Islam dan permohonan pernikahan bagi kedua-dua bakal pengantin yang bukan pemastautin Melaka kerana melibatkan pergerakan rentas negeri.

Katanya Tadika JAIM yang mula beroperasi pada 20 Jan lepas akan diteruskan di kawasan zon hijau atau kuning sahaja manakala yuran bulanan bagi bulan yang murid tidak hadir sepanjang tempoh PKP perlu dipulangkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here