KUALA LUMPUR, 3 April – MN Holdings Bhd bekerjasama dengan Shanghai DC-Science Co Ltd (DCS) China untuk membangunkan pusat data berprestasi tinggi di Sedenak Tech Park, Johor, dengan anggaran nilai keseluruhan lebih US$600 juta (US$1=RM4.42).

MN Holdings berkata kerjasama itu dimeterai susulan majlis penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat milik penuhnya Mutu Nusantara Sdn Bhd dan DCS pada 1 April 2023, bersempena dengan lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini.

Pusat data berkeluasan 8.9 hektar itu adalah pusat data berprestasi tinggi pertama DCS di luar China.

“Fasa pertama projek itu dijadualkan memulakan pembangunan pada tahun ini dan akan memulakan operasi pada separuh pertama 2024,” katanya.

Perkongsian terbaharu dengan DCS akan memberikan rangsangan kepada nilai perolehan hadapan MN Holdings yang berjumlah RM325.9 juta setakat 20 Jan 2023.

“Butiran mengenai skop kerja akan dimuktamadkan selepas majlis penandatangan perjanjian tambahan antara DCS dan MN Holdings,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here