KUALA LUMPUR, 31 Jan — Wanita UMNO mendesak pihak berwajib mengambil tindakan segera supaya pelaku dalam kes kematian seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai akibat didera di Melaka baru-baru ini dihadapkan ke muka pengadilan sekali gus menjadi pengajaran kepada orang ramai. 

Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pada masa sama, Wanita UMNO berharap kerajaan dan pihak berkaitan melihat tahap kesihatan mental orang ramai yang sedikit-sebanyak terkesan oleh pandemik COVID-19.

“Kes-kes yang berlaku seperti ini menunjukkan tahap mental orang ramai yang semakin terganggu sehingga sanggup melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya terhadap kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, sepasang suami isteri berusia 32 dan 38 tahun direman tujuh hari  bagi membantu siasatan kes dera sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Taman Krubong Jaya, Melaka.  Pasangan itu merupakan bapa tiri dan ibu kandung kanak-kanak berkenaan. 

Kanak-kanak malang tersebut didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira 4 petang,  Jumaat lepas. Bagaimanapun, siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengulas lanjut, Noraini berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, kes penderaan kanak-kanak yang melibatkan ibu bapa mencatatkan peningkatan hingga 20 peratus sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lepas. 

Oleh itu, beliau mengajak semua pihak untuk menggembleng tenaga dalam memastikan kejadian seumpama dapat  diatasi. 

Sementara itu, bekas Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Jalil dalam kenyataannya meminta masyarakat tidak berdiam diri jika ternampak tanda-tanda penderaan ke atas mana-mana kanak-kanak. 

“Setidak-tidaknya boleh maklum kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis atau pemimpin masyarakat. Terlalu menyayat hati membaca kes ini. Saya harap siasatan kes penderaan yang amat kejam ini dipercepatkan dan yang bertanggungjawab mesti diadili,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here