PETALING JAYA 6 Feb: Kerapuhan kerjasama antara PPBM, PAS, dan Umno akan terus terurai pada pilihan raya umum akan datang kerana tiga parti itu hanya bersama untuk kepentingan politik masing-masing.

PPBM, PAS, dan Umno adalah tonggak kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin Yassin, namun hubungan PPBM dan Umno sudah pun mula kendur, dengan beberapa Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Mahathir yakin kerjasama PAS dan Umno yang kini diikat menerusi Muafakat Nasional, juga tidak akan bertahan berdasarkan sejarah hubungan mereka.

“Sebenarnya mereka (PAS-Umno) tidak pernah rapat. PAS telah mengutuk Umno sebagai kafir. Jadi bagaimana mereka boleh bekerjasama apabila PAS berkata orang yang bekerjasama dengan kafir akan sendiri menjadi kafir,” kata Mahathir dalam wawancara khas dengan FMT.

Beliau berkata dua parti itu menjalin kerjasama hanya untuk kepentingan politik dan bukan berpandukan prinsip.

“Jadi hubungan seperti ini tidak boleh menjadi asas kepada kerjasama yang baik, ia hanya hubungan yang berasaskan kesenangan politik,” kata beliau.

Mahathir berkata PPBM juga tidak pernah rapat dengan PAS, justeru merumuskan hubungan antara tiga parti Melayu itu hanya didirikan atas kesenangan politik, bukan demi kepentingan negara.

“Keadaan ini tidak membawa kebaikan kepada negara kerana mereka tidak mempunyai pandangan sama yang betul mengenai cara membangun dan menguruskan negara,” kata Mahathir.

Beliau menjangka perbalahan akan tercetus antara tiga parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum.

“Mereka akan sukar mengagihkan kerusi. Jika tiada persetujuan, perbalahan akan berlaku sesama mereka dan ini tidak baik untuk mereka mahupun negara,” kata Mahathir.

Mahathir percaya perbalahan pasti tercetus kerana Umno sudah pun menyatakan ia akan bertanding di semua kerusi tradisinya, termasuk yang diinginkan oleh PPBM.

“Walaupun, pemimpin mereka mungkin menyatakan kesediaan bekerjasama, ahli mereka tidak akan berbuat demikian. Contohnya, akar umbi PAS tiak akan menyokong calon Umno,” kata Mahathir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here