IPOH, 17 Feb — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menzahirkan titah penghargaan terhadap seorang guru yang sanggup membersihkan Sungai Balun di Slim River, Tanjung Malim secara sukarela.

Sultan Nazrin bertitah usaha Ismail Mohd Zain, 40, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Felda Besout 1, Slim River membersihkan Sungai Balun daripada sampah terperangkap dapat menghindari kejadian banjir.

Selain itu, baginda bertitah usaha Ismail juga dapat memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.

“Beta menzahirkan penghargaan atas sifat amat terpuji yang telah saudara Beta pamerkan,” titah Sultan Nazrin menerusi satu warkah penghargaan di sini hari ini. 

Sultan Perak bertitah sebagai seorang guru, Ismail telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion keguruan dan sewajarnya sikap beliau dicontohi oleh warga pendidik serta para pelajar di negara ini.

“Semoga Allah menerima usaha murni ini yang dilakukan sebagai amal makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia dan akhirat,” titah Sultan Nazrin. 

Pada 14 Feb lepas, sebuah akhbar tempatan menyiarkan kisah Ismail yang sanggup bergelumang lumpur, selut dan lintah seorang diri demi membersihkan sampah yang terperangkap di dalam Sungai Balun. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here