GEORGE TOWN, 19 Feb — Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan Pakej Bantuan Rakyat 3.1 bernilai RM8.41 juta bagi membantu beberapa sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan memastikan ekonomi negeri itu akan terus dibangunkan semasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang bersidang pada 17 Feb lepas mengenal pasti 19 golongan dan institusi paling terkesan meliputi pelbagai sektor sebagai bakal penerima manfaat bantuan tersebut.

Beliau berkata antara yang akan menerima bantuan sekali beri di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 ialah golongan usahawan kecil dan sederhana (RM1,000) serta pengusaha kegiatan sukan dan aktiviti kecergasan berdaftar (RM500).

“Pusat jagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya serta perlindungan wanita di Pulau Pinang bakal menerima bantuan secara sekali beri sebanyak RM5,000,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata pengendali perkhidmatan spa bergerak, pemandu bas atau van persiaran, kereta sewa atau limosin pelancongan, pemandu pelancong berdaftar, pengusaha lancang air, pengusaha kuda rekreasi, pengusaha kantin dan kafeteria di institusi pengajian tinggi awam, swasta, kolej atau institut latihan, guru sekolah agama rakyat dan Pemegang Tauliah Mengajar berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) masing-masing mendapat bantuan sekali beri sebanyak RM500.

“Bagi operator lokasi pelancongan, kuil dan rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, surau yang berdaftar di bawah JHEAIPP mendapat bantuan sekali beri sebanyak RM1,000,” katanya.

Beliau berkata insentif makanan ternakan bagi penternak tradisional untuk komoditi unggas, ruminan dan khinzir di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang dengan anggaran 1,088 orang bakal mendapat manfaat di bawah pakej bantuan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM574,424.

“Kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan peralatan kesihatan dan penyediaan kelengkapan Program Imunisasi COVID-19 Negeri Pulau Pinang yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM2 juta.

“Program kerjasama pintar dengan penyedia platform perdagangan digital yang bakal dimanfaatkan kira-kira 15,000 penerima di bawah pakej bantuan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM1 juta,” katanya.

Pada 21 Jan lepas, kerajaan negeri telah mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0 berjumlah RM10 juta daripada jumlah keseluruhan RM20 juta yang diperuntuk bagi membantu golongan terkesan akibat COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang Soon Lip Chee pula menyifatkan pengumuman itu sebagai satu berita baik. 

“Ini adalah satu berita baik kerana sebanyak 194 pengusaha kegiatan industri sukan di negeri ini bakal memanfaatkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 yang diumumkan kerajaan negeri hari ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata antara yang bakal menerima manfaat itu ialah sukan boling sepuluh pin, snuker, yoga, zumba, senaman aerobik, futsal, badminton, gimnasium, sukan permotoran go-kart, paintball serta pengajaran dan dewan serbaguna untuk kegiatan sukan. 

“Hanya pengusaha kegiatan sukan yang berlesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan layak memohon bantuan khas kewangan tersebut.

Katanya justeru itu, pengusaha yang belum memperbaharui lesen dinasihatkan berbuat demikian sebelum 31 Mac 2021 serta mengepilkan lesen perniagaan dan SSM yang sah untuk memohon bantuan khas kewangan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here