SEPANG, 19 Feb — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membantu dalam mempermudahkan pendaftaran bagi kumpulan sasar kementerian iaitu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata beliau ada membangkitkan dalam mesyuarat Kabinet untuk memberikan golongan rentan seperti warga emas keutamaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kerana mereka adalah antara golongan berisiko tinggi.

“Pihak kami akan membantu mempermudahkan pendaftaran (warga emas dan OKU) untuk divaksin kerana yang penting semua (golongan sasar) divaksin supaya kita dapat kembali hidup seperti biasa,” katanya kepada media selepas melawat Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di sini hari ini.

Rina berkata seramai 68,003 kumpulan sasar kementerian yang terdiri daripada 48,564 warga emas dan 19,439 OKU yang berdaftar akan diberi suntikan vaksin dalam fasa kedua program imunisasi COVID-19 itu, yang dijangka bermula pada April depan.

Beliau juga berharap agar warga emas dan OKU yang tinggal di pusat jagaan kendalian swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut diberi keutamaan dalam fasa kedua program imunisasi COVID-19 itu.

Menurutnya, terdapat 576 pusat jagaan warga emas dan OKU di bawah kendalian pihak swasta dan NGO yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan bilangan penghuni seramai 15,818 orang dan diuruskan oleh 3,238 penjaga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here