KUALA LUMPUR, 19 Feb — Sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes COVID-19 akan bermula pada 1 Mac ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata keputusan itu melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sementara untuk Tahun Tiga hingga Enam sesi akan bermula pada 8 Mac. 

“Pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan A akan hadir ke sekolah pada 4 April manakala pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan B pada 5 April, iaitu selepas tamat sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan membenarkan pelajar sekolah rendah untuk mengikuti sesi persekolahan lebih awal adalah bagi memberi ruang kepada murid dan guru menyesuaikan diri dengan suasana norma baharu dan juga prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Kumpulan A membabitkan sekolah di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B melibatkan sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Beliau berkata takwim persekolahan adalah kekal seperti yang dikeluarkan sebelum ini.

“Tarikh pembukaan sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran mengikut tarikh pembukaan sekolah yang ditetapkan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata kolej vokasional pula akan dibuka pada 1 Mac manakala sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta kategori pusat termasuk pusat tuisyen akan dibuka pada 8 Mac.

Radzi dalam pada itu berkata sebarang perancangan KPM dibuat dengan teliti dan pendekatan diambil berdasarkan input serta maklum balas daripada semua pihak.

Sementara itu, ditanya mengenai penyelarasan DidikTV apabila sesi persekolahan bermula, Radzi berkata pengisian program bagi pelajar sekolah menengah akan diperbanyak memandangkan pelajar sekolah rendah akan memulakan persekolahan terlebih dahulu.

Pada 17 Feb lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan DidikTV menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV UNIFI, bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari untuk meningkatkan akses pendidikan kepada pelajar di seluruh negara.

Bagi ibu bapa yang risau mengenai angka COVID-19, beliau berkata  menjadi tanggungjawab KPM untuk menyediakan akses pendidikan dalam keadaan selamat sambil memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran.

“Jika ada masalah kesihatan, ibu bapa boleh maklumkan kepada pihak sekolah. Saya juga memohon kerjasama ibu bapa yang menunggu anak mereka selepas tamat sesi persekolahan untuk patuhi SOP di luar kawasan sekolah dengan mengutamakan penjarakan fizikal dan sebagainya,” kata Radzi.

Mengulas mengenai peperiksaan SPM 2020 yang akan bermula Isnin ini, beliau berkata pelbagai persediaan terperinci dilakukan agar calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dengan SOP ketat.

“Kebiasaannya hanya ada satu dewan peperiksaan sahaja namun untuk SPM kali ini kita juga menyediakan bilik alternatif sekiranya apa-apa berlaku pada calon.

“Selain itu, kita sediakan bilik khas sekiranya calon menunjukkan gejala COVID-19, selain bilik isolasi dan bilik transit bagi kegunaan calon,” katanya, menjelaskan penggunaan bilik darjah bagi tujuan itu adalah faktor pelajar sekolah menengah memulakan sesi pembelajaran bersemuka pada April.

SPM 2020 dijadualkan bermula Isnin ini dan tamat pada 25 Mac depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here