PETALING JAYA,22 Feb: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai “kerajaan Covid-19”, dengan berkata, rakyat bukan sahaja mahu melihat negara bebas daripada wabak itu, tetapi kehidupan mereka kembali pulih seperti sedia kala.

Zahid berkata, rakyat mahu melihat dan merasai bagaimana kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencari jalan untuk membantu mereka, yang menurutnya terkesan akibat kemerosotan ekonomi dan kehilangan pelabur langsung asing (FDI).

“Kerajaan ini adalah kerajaan Covid-19, segala-galanya dihubungkaitkan dengan Covid-19. Rakyat mahu melihat, bukannya sekadar Covid-19 sahaja ditangani.

“Rakyat perlukan duit poket, makanan di atas meja dan mahu terus melangsungkan kehidupan mereka.

“Kita akui takdir sudah menentukan seluruh dunia hadapi Covid-19, tetapi bolehkah kita terima hakikatnya pelabur asing sudah cabut pelaburan mereka dan berpindah ke negara lain di rantau Asia.

“700 ribu pengangguran kini berlaku, 233 ribu siswazah juga menganggur,” katanya dalam wawancara bersama Malaysia Post.

Zahid secara sinis “bersyukur” kerana kadar pengangguran 4.8% pada hari ini adalah kadar paling tinggi sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Kita terima hakikat norma baharu tetapi rakyat perlu makan. Jumlah kedai lebih banyak daripada pelanggan yang datang.

“Kedai runcit, sektor perkilangan, industri pelancongan dan sektor hospitaliti tidak dipedulikan.

“Saya perlu suarakan hal ini kerana suara saya adalah nadi kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Zahid berkata, langkah mengisytiharkan darurat tidak wajar diambil.

Katanya, persepsi yang timbul dalam kalangan rakyat bahawa ia bertujuan untuk menyelamatkan kedudukan perdana menteri tidak dapat dielakkan.

“Hakikat sebenarnya, matlamat asalnya untuk tangani Covid-19. Secara peribadi saya percaya proklamasi darurat tidak perlu dibuat.

“Dalam perkara ini saya amat taat setia dengan titah Agong, yang sudah dinasihati perdana menteri dan Muhyiddin juga mendapat mandat Jemaah Menteri supaya darurat diisytiharkan.

“Tetapi hakikatnya pada waktu sama rakyat perlu diambil peduli. Masalah rakyat perlu diutamakan. Tanpa rakyat kita tidak akan berada di mana-mana kedudukan dalam kerajaan, sama ada menteri atau wakil rakyat. Kepedulian rakyat harus diberi keutamaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here