IPOH, 23 Feb — Kerajaan akan terus memberikan bantuan sewajarnya untuk sektor pembuatan khususnya industri sarung tangan getah bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai penggiat utama bekalan sarung tangan getah untuk keperluan industri kesihatan global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata ini juga sejajar dengan status Malaysia sebagai pengeluar utama produk itu dengan nilai eksport industri terbabit mencecah RM2.9 bilion pada Oktober lepas.

“Kita mengharapkan agar industri sarung tangan getah ini akan terus memacu ekonomi negara dan seterusnya memberi pekerjaan kepada rakyat tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fasiliti Sistemasi Pembuatan Sarung Tangan AT Glove Engineering Sdn Bhd di Chemor di sini, pada Selasa.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Redzuan berkata eksport sarung tangan getah telah menyumbang sebanyak 51.1 peratus kepada jumlah eksport negara pada Oktober lepas berbanding 49.1 peratus bagi tempoh sama pada 2019.

Menurutnya, peningkatan itu dipacu oleh permintaan dari negara luar berikutan penularan COVID-19.

Malah, beliau berkata, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) turut mengunjurkan bahawa kekurangan sarung tangan getah di peringkat global akan berlanjutan dan melangkaui suku pertama 2022.

Bagi 2021, MARGMA menjangkakan menerima pertumbuhan permintaan tahunan sekitar 15-20 peratus dengan hasil eksport berjumlah RM34 bilion manakala 420 bilion helai sarung tangan getah diperlukan di peringkat global.

“Walaupun kebanyakan negara telah memperoleh vaksin COVID-19 namun ia tidak akan menjejaskan permintaan terhadap keperluan sarung tangan getah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here