PETALING JAYA,23 Feb : Bekas timbalan menteri kesihatan meminta Putrajaya mempertimbangkan pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG), untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan mampu ditanggung rakyat.

DRG ialah klasifikasi pesakit yang menyeragamkan sistem pembayaran prospektif untuk membatasi bahagian pendapatan hospital. Model baharu ini membayar hospital dengan kadar ditentukan berdasarkan diagnosis pesakit.

Dr Lee Boon Chye memberitahu FMT, Malaysia seharusnya melihat model pelaksanaan sistem DRG seperti dilakukan di Indonesia.

Ketika ini, katanya Malaysia tidak menjalankan analisis kos faedah CBA yang terperinci bagi menggalakkan kerjasama antara perkhidmatan awam dan swasta dalam sektor kesihatan.

“Oleh kerana kita belum menubuhkan sistem pembayar tunggal, tidak ada dorongan untuk CBA dijalankan.

“Namun, jika kita mempunyai perancangan melaksanakan sistem pembayar tunggal, seperti Skim Kewangan Kesihatan atau Skim Insurans Kebangsaan, ia mesti dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, sistem DRG dilaksanakan di Indonesia, sudah dibangunkan oleh rakyat Malaysia, namun tidak pernah menggunakannya.

Terdahulu, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) meminta supaya CBA dijalankan susulan dakwaan anggota persatuan terbabit mengenakan harga tinggi ke atas rawatan diberikan kepada pesakit.

Presidennya Dr Kuljit Singh berkata, CBA akan membuktikan kadar yang dikenakan di hospital swasta ketika ini tidak mahal seperti diperkatakan.

Lee berkata, CBA akan membantu penstrukturan kos serta meningkatkan keberkesanan dan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Galen bagi Kesihatan dan Dasar Sosial berpandangan, pandemik Covid-19 mendorong pengurusan sistem kesihatan di negara ini untuk diteliti semula.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Mohd Khalib berkata, terdapat keperluan untuk membangunkan sistem kesihatan yang stabil, telus serta berdaya tahan, melibatkan hospital, tenaga perubatan profesional serta industri farmaseutikal.

“Keberhasilan kerjasama perkhidmatan awam dan swasta akan menzahirkan sistem kesihatan lebih baik dan berkualiti. Ini akan memberi manfaat kepada semua rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, keputusan melibatkan salah satu daripada dua tier sektor kesihatan iaitu perkhidmatan awam dan swasta, hanya akan ditanggung oleh rakyat secara keseluruhannya.

Gerakan Pengguna Malaysia (MCM) memberitahu terdapat banyak aduan diterima mengenai kadar bayaran tinggi dikenakan hospital swasta biarpun dakwaan itu dinafikan APHM.

“Satu hal yang menarik apabila persatuan berkenaan menafikan ada anggotanya yang mengenakan bayaran tinggi, sedangkan sebuah hospital swasta sebelum ini dikenakan denda kerana meraih keuntungan berlebihan atas penjualan pelitup muka,” kata presidennya Darshan Singh Dhillon, merujuk kepada satu kes tahun lalu.

Beliau turut membantah kenyataan Kuljit yang menyatakan peningkatan bilangan pesakit luar negara adalah disebabkan harga berpatutan ditawarkan perkhidmatan kesihatan swasta di negara ini.

Tegas Darshan, kebanyakan pesakit luar yang sanggup datang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan adalah daripada kalangan berkemampuan. Selain itu, kadar tukaran wang asing juga menjadi sebab mengapa Malaysia menjadi destinasi pilihan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here