KOTA BHARU,1 Mac: Dakwaan terdapat 200 Ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan cuba “memotong barisan” untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 adalah fitnah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Izani Husin.

Katanya, laporan yang tersebar di media sosial itu sehingga mendapat pelbagai reaksi dan kecaman netizen tidak benar serta berniat jahat.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah campur tangan sebarang proses menentukan senarai penerima vaksin Covid-19 di Kelantan, sebaliknya ia dilakukan sendiri Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK).

“Isu ini sudah tular di Facebook, Twitter dan WhatsApp sehingga ke peringkat menteri. Jadi, saya ingin menjelaskan berita itu adalah satu fitnah dan tidak benar.

“Malah, sebagai orang yang menguruskan hal ini (suntikan vaksin), saya tidak membincangkan apa-apa senarai nama dan tidak pernah memberi tekanan kepada JKNK supaya suntikan vaksin didahulukan kepada barisan pemimpin berbanding golongan petugas barisan hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, pakar perunding nefrologi, Dr Rafidah Abdullah menerusi catatan di Twitter memaparkan tangkap layar mesej diterimanya daripada individu tidak ingin dikenali berhubung perkara itu.

Mesej itu mendakwa suntikan vaksin Covid-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang dalam senarai penerima vaksin terpaksa ditangguhkan untuk memberi “laluan” kepada 200 ahli SUK Kelantan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here