PETALING JAYA.1 Mac: Bukan hak menteri undang-undang untuk menghalang undang-undang syariah yang bercanggah dengan perlembagaan daripada dicabar.

Demikian pandangan seorang peguam berhubung tindak balas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata, setiap warganegara mempunyai hak akses kepada keadilan yang dijamin oleh perlembagaan.

“Sebagai seorang peguam, menteri patut tahu bahawa sebarang usaha untuk menghalang akses kepada keadilan adalah penghinaan yang serius terhadap mahkamah.

Parlimen (UK) dalam kes Raymond lwn Honey menetapkan perkara itu,” kata beliau.

Daripada mencampuri sistem keadilan, Syed Iskandar berkata, Takiyuddin sepatutnya memastikan bahawa undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan tidak diluluskan oleh badan perundangan negeri.

Takiyuddin sebelum ini menggesa supaya tiada lagi bantahan dibuat terhadap undang-undang negeri.

Beliau yang juga setiausaha agung PAS berkata, parti itu akan meneruskan usaha untuk mengharmonikan undang-undang sivil berdasarkan undang-undang Inggeris, dengan undang-undang Islam.

Namun kata beliau, parti itu bimbang “jika badan kehakiman memutuskan suatu kes berdasarkan tekanan daripada masyarakat, ini akan menimbulkan implikasi pada masa depan yang tidak menguntungkan negara”.

Khamis lalu, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai batal dan tidak sah, kerana kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Keputusan itu dibuat atas petisyen seorang lelaki berusia 35 tahun yang didakwa di Mahkamah Syariah kerana “cuba melakukan seks luar tabii” dengan lelaki lain.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, mahkamah tertinggi tidak melabelkan kesalahan itu sebagai tidak Islamik, tetapi sebaliknya memilih untuk memfokus kepada isu keperlembagaan enakmen tersebut.

“Cumanya badan perundangan Selangor atau negeri lain tidak boleh memutuskan seks luar tabii sebagai satu kesalahan kerana ia sudah termaktub dalam Senarai Persekutuan,” kata beliau.

Rafique berkata, sudah ada kesalahan seperti liwat di bawah Kanun Keseksaan, yang terpakai untuk orang Islam dan bukan Islam.

Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara hingga 20 tahun, didenda atau disebat sehingga 24 kali sekiranya pesalah berusia 50 tahun ke bawah.

Beliau berkata sedemikian sebagai respons terhadap kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, pada Sabtu bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

Mohamad berkata keputusan mahkamah tertinggi itu juga menimbulkan persoalan mengenai implikasi penyelarasan mahkamah sivil dan syariah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here