PETALING JAYA, 2 Mac: Pembukaan semula sempadan Malaysia kepada pelancong asing yang telah menerima vaksin Covid-19 “secara teorinya, cukup selamat”, kata seorang ahli epidemiologi susulan cadangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Profesor epidemiologi dan biostatistik di Universiti Malaya, Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, vaksin yang berkesan dapat mengurangkan kebarangkalian penularan virus, tetapi kajian epidemiologi diperlukan untuk mengesahkannya.

“Jika populasi setempat dan pelancong yang masuk diimunisasi, kemungkinan penularan penyakit sepatutnya berkurang,” katanya kepada FMT.

Namun, katanya, masih ada risiko rakyat Malaysia dijangkiti varian mutan yang tidak dirangkumi oleh vaksin sedia ada. Protokol mesti dibina untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan baharu dan membenarkan perjalanan yang selamat.

Sebagai permulaan, kerajaan boleh membina “gelembung perjalanan” antara negara-negara yang telah menerima vaksin dan memiliki imuniti kelompok. Ini dapat dilakukan setelah segala kemungkinan, faedah ekonomi, risiko kesihatan dan rancangan untuk mengurangkannya dipertimbangkan dengan teliti.

Malaysia mungkin tidak perlu menunggu hingga 70% populasi divaksinasi sebelum membatalkan sekatan perjalanan antara daerah dan negeri kerana sudah ada bukti penurunan jumlah jangkitan baharu dalam kalangan warga emas yang diimunisasi di United Kingdom.

Semalam, ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan membuka sempadan kepada pelancong dan ahli perniagaan yang telah divaksinasi.

Memetik laporan bahawa negara-negara seperti Iceland, Poland dan Romania telah membenarkan pelancong yang divaksinasi masuk, Rajiv menggesa Malaysia menjadi negara Asia pertama yang melakukannya.

Bagaimanapun, presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata, vaksin tidak sepenuhnya berkesan terhadap Covid-19, walaupun ia membantu mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian.

Beliau berkata, pelancong yang diimunisasi yang dibenarkan masuk ke negara ini mesti menunjukkan bukti vaksinasi mereka.

“Pelancong yang keluar masuk mesti disaring; walaupun dengan vaksin, penting untuk memastikan mereka tidak membawa masuk jangkitan baharu,” kata beliau, sambil menambah, prosedur yang ketat masih harus dipatuhi.

Dengan lebih ramai orang divaksinasi di seluruh dunia, Subramaniam berkata, Malaysia hanya menunggu masa sebelum terpaksa “bergerak” dengan membuka sempadan untuk menghidupkan semula ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here