GEORGE TOWN, 5 Mac — Sebanyak 464 anggota penguat kuasa majlis bandaraya Pulau Pinang bakal menerima suntikan pertama vaksin bagi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo hari ini berkata daripada jumlah itu, 249 terdiri daripada anggota Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan bakinya 215 anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Kerajaan negeri menggesa semua rakyat supaya mendaftar untuk program vaksinasi secepat mungkin bagi membolehkan kita menang dalam perjuangan melawan COVID-19,” katanya dalam sidang akhbar sambil menambah beliau sendiri sudah mengambil suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Jalan Angsana, Air Itam di sini.

Pada 2 Mac lalu, Jagdeep menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memberi peluang kepada petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima suntikan pada fasa pertama PICK.

Beliau berkata anggota penguat kuasa sering turun padang untuk melakukan pemeriksaan premis bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam kenyataan pada 3 Mac berkata isu itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan ia dipersetujui sebulat suara untuk memberi keutamaan kepada anggota penguat kuasa majlis bandaraya menerima suntikan pada fasa pertama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here