KUALA LUMPUR, 5 Mac — Platform pembelian secara dalam talian Shopee, hari ini menafikan pihaknya menawarkan vaksin Pfizer’s COVID-19 untuk jualan, sebagaimana yang dipaparkan menerusi satu foto yang tular di Twitter dan WhatsApp sejak beberapa hari lepas.

Shopee dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya tidak dapat mengesan sebarang senarai jualan barang berkenaan di platform mereka.

“Penulis twit itu mengesahkan bahawa imej dalam foto berkenaan sebenarnya telah diubah suai, dan ia sememangnya palsu. Imunisasi COVID-19 adalah perkara yang berkaitan kesihatan negara, ia tidak seharusnya dianggap perkara remeh,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesahkan bahawa berita mengenai penjualan vaksin itu adalah palsu.

Shopee turut mengingatkan pihak yang menyebar maklumat palsu mengenai vaksin itu bahawa perkara berkenaan sedang dipantau oleh polis dan MCMC.

Dua hari lepas, satu gambar tangkap layar penjualan vaksin COVID-19 Pfizer telah menjadi tular, dan ia disertakan dengan maklumat kononnya vaskin itu dijual pada harga RM63.88.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here