PUTRAJAYA, 12 Mac — Penguatkuasaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 adalah khusus bagi menangani berita tidak benar berkaitan COVID-19 serta Proklamasi Darurat sahaja, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ordinan itu merupakan remedi jangka pendek khusus bagi membendung penularan berita tidak benar mengenai COVID-19 dan Proklamasi Darurat, demi ketenteraman dan kepentingan awam.

“Ini hanya untuk waktu darurat sahaja… ia bukan selamanya,” katanya yang menolak tanggapan ordinan itu bermotifkan politik.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di sini, berhubung ordinan berkenaan yang berkuat kuasa hari ini.

Saifuddin berkata penguatkuasaan ordinan itu dipertanggungjawabkan kepada pegawai polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Ordinan ini bertujuan percepatkan proses penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan manakala prosiding di mahkamah kekal seperti sedia ada,” katanya dan menambah, ketika ini ada 270 kes berita palsu berkaitan COVID-19 dan 16 kes berkaitan proklamasi darurat yang disiasat oleh pihak polis dan MCMC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here