KLANG, 18 Julai — Kerajaan Selangor telah menghubungi Kementerian Luar Negeri pada Sabtu dalam usaha mempercepatkan proses pengesahan jenazah atau mayat warga asing COVID-19 khususnya di tiga hospital di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia susulan banyak jenazah atau mayat COVID-19 yang tidak dapat diuruskan dengan cepat terutama di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang; Hospital Shah Alam dan Hospital Sungai Buloh.

“Semalam saya telah berhubung dengan Kementerian Luar dan menteri yang terbabit maklum dengan hal berkenaan dan akan cuba menyelesaikan (isu tersebut). Ini kerana sebahagiannya (mayat atau jenazah) bukan warganegara perlu dapat pengesahan daripada pihak kedutaan. 

“Kita akan cuba mempercepatkan proses itu sebab (ada jenazah atau mayat) yang terpaksa ambil masa satu minggu hingga sebulan, terpaksa disimpan di bilik mayat sebelum pengesahan dapat dilakukan untuk proses pengebumian,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Vaksinasi COVID-19  di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya juga sedang mengaturkan kenderaan jenazah dengan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mempercepatkan usaha membawa keluar mayat atau jenazah COVID-19 dari bilik mayat hospital.

Semalam, beliau mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah COVID-19 Berpusat iaitu satu usaha kerajaan negeri untuk menyingkatkan urusan dalam mengurangkan kesesakan jenazah atau mayat di beberapa hospital di Selangor.

Amirudin dalam kenyataan berkata inisiatif berkenaan akan melibatkan urusan jenazah COVID-19 di tiga hospital sama ada muslim dan bukan Islam iaitu Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan HTAR.

Amirudin berkata bagi inisiatif itu, Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Pelabuhan Klang dipilih bagi pengebumian jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam manakala bagi yang bukan Islam, mangsa yang berkenaan akan dirujuk ke PBT untuk tujuan pengebumian serta pengurusan krematorium yang bersesuaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here