JOHOR BAHRU, 12 Mac — Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yakin para pelajar yang menerima bantuan komputer riba di negeri itu dapat memanfaatkan kurniaan berkenaan sebaik mungkin.

Menerusi hantaran pada laman Facebook The Royal Johor, Raja Zarith Sofiah yang juga Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor menzahirkan rasa prihatin berkenaan isu-isu dan cabaran semasa pendidikan termasuk proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Baginda juga amat memahami cabaran ekonomi semasa serta beban yang ditanggung golongan ibu bapa sekali gus berkenan agar dikurniakan komputer riba kepada pelajar-pelajar berpotensi tinggi daripada keluarga B40 yang tersenarai dalam  eKasih daerah Johor Bahru.

“Saya amat berharap kurniaan komputer riba ini dapat membantu melancarkan proses pembelajaran baik di rumah mahupun di sekolah demi meraih kecemerlangan akademik untuk masa depan yang lebih cerah,” titah Permaisuri Johor kepada Royal Press Office,  iaitu Pejabat Media dan Komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, menerusi hantaran berkenaan.

Menurut hantaran terbabit, pada 3 Feb lepas, sebanyak 53 komputer riba diagihkan di bawah fasa pertama hasil perbincangan dengan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

Fasa kedua yang memanfaatkan 100 penerima pula dimulakan pada 24 Feb lepas, melibatkan pelajar pelbagai bangsa daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sultan Ibrahim, SMK Taman Tun Aminah, SMK Dato’ Penggawa Timur, SMK Taman Universiti 1 serta beberapa sekolah lain di daerah ini.

Menurut hantaran tersebut, pihak Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada beberapa badan korporat yang menyumbang bagi menjayakan usaha murni berkenaan demi memastikan kelancaran proses pembelajaran para penerima pada waktu penularan pandemik ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here