PUTRAJAYA, 29 Mac — Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik, akan bermula 19 April ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, notis janji temu bagi suntikan vaksin akan diberikan mulai 5 April, dua minggu awal sebelum tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Khairy berkata, setakat semalam (28 Mac), kira-kira dua juta individu dalam golongan fasa kedua telah berdaftar menerusi MySejahtera, daripada sasaran sembilan juta orang.

“Sementara menunggu pendaftaran golongan fasa kedua dan bila bekalan vaksin mencukupi, mereka yang telah berdaftar di bawah fasa ketiga, akan didahulukan untuk menerima suntikan vaksin.

“Sekiranya pendaftaran fasa kedua perlahan atau rendah, kita tidak akan tunggu dan proses vaksinasi bagi fasa ketiga akan dipermudahkan,” katanya pada sidang media perkembangan program imunisasi COVID-19, di sini hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here