JOHOR BAHRU, 17 April  — Nama-nama pegawai dan anggota polis yang ditularkan di media sosial kerana kononnya terbabit dengan pelbagai sindiket jenayah terancang, disahkan tiada kena mengena dengan kes ‘Geng Nicky.’

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan berhubung perkara tersebut, dan mendapati nama-nama yang tersenarai terbabit tiada kaitan dengan kes yang sedang dikendalikan pihaknya.

“Memang tiada kaitan setakat ini, tetapi saya tidak tahulah kalau mungkin ada kaitan dengan yang lain (kes lain).

“Sejak kebelakangan ini, banyak benda ditularkan tentang polis. Jangan percaya dengan benda-benda itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Infaq Ramadan di Masjid Jannatul Firdaus di Taman Molek, di sini hari ini.

Sejak Selasa lalu, tular di laman sosial satu senarai nama pegawai-pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, yang dikatakan banyak terlibat dengan pelbagai sindiket jenayah terancang iaitu dengan cara melindungi, bersubahat, bersekongkol, menyalahguna kuasa dan menerima rasuah.

Penularan itu kemudian menimbulkan persoalan sama ada mereka yang tersenarai merupakan antara pegawai polis yang diburu kerana terbabit dengan kes Geng Nicky.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here