JOHOR BAHRU, 18 April  — Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan peraturan dan sebuah badan khusus yang mengawal selia individu yang terlibat dalam perkhidmatan penghantar barangan dan makanan menggunakan motosikal (p-hailing).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sudah tiba masanya perkara itu diwujudkan dalam usaha membela kebajikan mereka yang menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya.

Menurutnya, perkara itu perlu diutamakan kerana kini belum terdapat sebarang peraturan ataupun badan khusus untuk bidang berkenaan.

“Bagi saya, perlu ada satu dasar seperti e-hailing. Kalau dulu, tidak ada sebarang peraturan e-hailing dan oleh itu, kerajaan sedang melihat kaedah yang wajar untuk membuat perbincangan antara agensi dan kementerian untuk melihat bagaimana kita hendak membela nasib mereka yang terlibat dalam p-hailing ini.

“Kita memang faham mereka ini bertungkus-lumus menghantar makanan dan jangkaan saya, kini terdapat lebih kurang 100,000 orang terlibat dalam bidang ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Johor di Ibu Pejabat MCA negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai luahan pemandu atau penunggang p-hailing yang dikatakan tidak mendapat perhatian sewajarnya khususnya dalam aspek kebajikan daripada syarikat pengendali perkhidmatan itu.

Wee berkata kerjaya sebagai pemandu p-hailing yang merupakan sebahagian daripada industri ekonomi gig ‘bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan’ sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Ini kerana orang ramai kini lebih gemar berbelanja termasuk membuat pesanan makanan secara dalam talian berbanding duduk (makan) di restoran.

Mengulas lanjut perkara itu Wee berkata, prihatin dengan nasib penunggang p-hailing, kerajaan baru-baru ini hendak mewajibkan penunggang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Kalau caruman sebanyak RM13.10 sebulan… mereka bolehlah dapat bayar maka ada perlindungan secara asas,” katanya sambil menasihati penunggang p-hailing agar bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan diri masing-masing dan pengguna jalan raya lain ketika membuat penghantaran.

Pada 9 April lepas, Wee yang memetik statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata dua pertiga daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal dalam tempoh sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada tahun lepas melibatkan penunggang p-hailing.

Katanya, terdapat banyak aduan diterima berhubung penunggang p-hailing menunggang motosikal dengan laju dan secara melulu ketika berada di jalan raya.

 “Justeru, saya sudah meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan satu siri kempen (keselamatan jalan raya) untuk meningkatkan kesedaran penunggang ini. Mereka juga harus mempunyai sikap tanggungjawab dan prihatin terhadap pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here