PUTRAJAYA, 30 April — Tiada had umur ditetapkan terhadap mana-mana individu yang ingin memohon lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi kenderaan e-hailing dan kenderaan barangan (GDL), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menerusi kenyataan hari ini, Wee berkata mana-mana individu boleh terus memegang atau memperbaharui  lesen mereka selagi mematuhi semua syarat termasuk mengemukakan laporan perubatan  sebagai pengesahan kesihatan.

Penetapan had umur maksimum oleh pihak e-hailing seperti dilaporkan adalah merupakan suatu ketetapan atau syarat dalaman untuk mendaftarkan mana-mana individu sebagai pemandu e-hailing dengan syarikat berkenaan, katanya.

Wee berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal  berita mengenai seorang pemandu e-hailing wanita warga emas yang tidak lagi dapat berkhidmat dengan syarikat berkenaan kerana faktor usia.

Bagaimanapun, Wee berkata semua operator perkhidmatan e-hailing perlu menilai semula syarat dalaman yang ditetapkan terhadap pemandu e-hailing, termasuk berkaitan had umur maksimum bagi membantu pemandu e-hailing meneruskan kelangsungan hidup.

“Pemandu e-hailing juga perlu sentiasa bertanggungjawab dengan memastikan tahap kesihatan diri dalam keadaan yang baik bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan sentiasa selamat kepada penumpang serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here