WENCHANG, 30 April — China menyingkap era baharu dalam misi pembinaan stesen angkasa lepas selepas satu modul teras yang dibawa roket Long March 5B berjaya dilancarkan dari pusat pelancaran di sini, pada Khamis.

Kejayaan itu menandakan bermulanya fasa ketiga program menempatkan manusia di angkasa lepas menerusi strategi tiga fasa yang diperkenalkan China sejak 1992.

Dengan panjang 16.6 meter dan berat berlepas sehingga 22.5 tan, modul Tianhe berdiameter hingga 4.2 meter itu bakal berfungsi sebagai hab pengurusan dan kawalan stesen angkasa lepas.

Modul tersebut membolehkan tiga angkasawan tinggal lebih lama, di samping menyokong eksperimen saintifik serta ujian teknologi untuk dilakukan di dalam dan luar modul.

Ketua pereka bentuk projek aeroangkasa pembawa angkasawan, Zhou Jianping menyifatkan Tianhe menjadi pelengkap terpenting stesen angkasa lepas.

“Dua modul eksperimen serta kapal angkasa lepas pembawa angkasawan dan kapal angkasa kargo akan dilancarkan untuk dicantumkan dengan modul teras itu.

“Tianhe bakal mengendalikan kesemuanya dari segi tenaga, orbit dan lain-lain,”  jelas Zhou.

Selain itu, Tianhe juga mempunyai enam zon berasingan yang memudahkan angkasawan melakukan tugasan dan menjalani kehidupan, antaranya termasuk zon kerja, tidur dan sanitasi.

Difahamkan, pada tahun ini dan tahun depan, China akan terus melaksanakan misi pelancaran membabitkan modul stesen angkasa lepas, kapal angkasa kargo dan kapal angkasa membawa manusia, sehingga stesen berkenaan siap pada 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here