KUALA LUMPUR, 6 Mei  — CGS-CIMB Securities menjangkakan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kali ini terhadap ekonomi tidak begitu ketara berbanding PKP 1.0 dan 2.0, dengan kerugian ekonomi harian adalah lebih rendah daripada PKP 2.0 di seluruh negara.

Menurut firma penyelidikan itu, kerugian ekonomi semasa PKP 3.0 diunjurkan lebih rendah daripada RM300 juta sehari yang dicatatkan ketika PKP 2.0 dan sedikit lebih tinggi daripada RM150 juta sehari berdasarkan kepada anggarannya menurut senario di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Program subsidi upah dan pemindahan wang tunai yang dilanjutkan sehingga 21 Jun, serta sokongan dasar yang ada seperti bantuan pembayaran yang disasarkan, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kemudahan kredit sebahagiannya dapat menampan impak daripada sekatan pergerakan terbaru ini,” katanya.

Justeru, ia mengulangi unjurannya bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar pada 5.7 peratus untuk tahun kewangan 2021 memandangkan penurunan dan andaian konservatif yang terbatas ke atas trajektori pemulihan.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata pelaksanaan PKP 3.0 di negeri dan daerah terpilih serta peningkatan kes COVID-19 kemungkinan boleh menimbulkan beberapa risiko pendapatan ke atas peserta amanah pelaburan harta tanah dengan pendedahan kepada hotel, pusat membeli-belah dan serta yang berkaitan pelancongan.

Selain itu, CGS-CIMB menambah penangguhan program imunisasi COVID-19 fasa tiga boleh memberi kesan kepada garis masa negara dalam mencapai imuniti kawanan dan membuka kembali sempadannya.

“Dengan demikian, ini boleh menjejaskan sentimen jangka pendek dan mendorong para pelabur mengambil untung ke atas saham bertemakan pemulihan seperti bank, hartanah, pembinaan dan yang berkaitan pelancongan kerana bimbangkan risiko pendapatan jangka pendek dan beralih kepada yang lebih defensif seperti utiliti, telekomunikasi dan pembuat sarung tangan,” katanya.

Ia seterusnya mengekalkan sasaran indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI pada 1,699 mata.

Kuala Lumpur dan beberapa daerah di Terengganu, Johor dan Perak diletakkan di bawah PKP mulai 7 hingga 20 Mei manakala perintah sekatan untuk enam daerah di Selangor bermula hari ini sehingga 17 Mei.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here