KOTA BHARU, 6 Mei — Lima termasuk dua wanita ditahan bersama 800 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM80,000 di sebuah rumah di Kampung Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat, dekat sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, ACP Norzaid Muhammad Said berkata kelima-lima mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota yang sedang melaksanakan penugasan Op Benteng Khas Musim Perayaan (Aidilfitri), pada pukul 10 malam.

Katanya terdahulu anggota pasukan yang membuat intipan di sebuah rumah melihat dua suspek lelaki sedang memunggah 11 bungkusan plastik lutsinar dipercayai berisi daun ketum ke dalam sebuah kereta yang diletakkan di hadapan rumah itu.

“Pemeriksaan di dalam rumah pula menemukan 2,982 bungkusan mengandungi daun ketum. Jumlah keseluruhan daun ketum yang dirampas ialah 800 kilogram dianggarkan bernilai RM80,000. Turut ditahan tiga lagi suspek yang berada di dalam rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norzaid berkata nilai keseluruhan rampasan daun ketum termasuk kereta dianggar berjumlah RM90,000.

“Barang rampasan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor. Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here