Kuala Lumpur 7 Mei — Syarikat di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus komited dengan melabur berjuta-juta ringgit di Malaysia, kata kementerian perdagangan dan industri antarabangsa (Miti).

Menterinya, Azmin Ali, yang juga menteri kanan ekonomi, mengetuai misi ke kedua-dua negara tersebut dari 26 April hingga 4 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Miti berkata Arab Saudi telah memberi “komitmen yang kuat” untuk meningkatkan import minyak sawit.

“Miti komited untuk menjadikan Arab Saudi sebagai pusat pengedaran produk minyak sawit berkaitan makanan dan minyak sawit Malaysia untuk wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara, selain mendukung dasar di rantau ini bagi meningkatkan keselamatan makanan,” Bernama memetik kementerian itu sebagai berkata.

“Syarikat-syarikat di Arab Saudi telah berkomitmen untuk melabur sejumlah RM200 juta di Malaysia dalam masa terdekat.

“Dalam pada itu, syarikat-syarikat Arab Saudi juga komited untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan Malaysia berjumlah RM833.5 juta, yang akan direalisasikan dalam beberapa tahun akan datang.”

Kementerian berkata syarikat-syarikat UAE juga dalam masa terdekat ini telah berkomitmen, untuk membuat pelaburan kumulatif bernilai RM2.16 bilion di Malaysia dan membeli barangan berjumlah RM470 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here