HAINAN, 7 Mei — Ekspo Barang Pengguna Antarabangsa China (CICPE) Pertama telah membuka tirainya di Haikou, wilayah Hainan pada Khamis menyaksikan penyertaan hampir 1,500 syarikat dalam dan luar negara.

Ekspo itu memberi peluang kepada pelbagai negara untuk memperkukuh kerjasama dengan China, sekali gus menikmati peluang pasaran China.

Perdana Menyeri Thailand, Prayut Chan-o-cha berkata, dasar pelabuhan bebas Hainan dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bertepatan dengan kepentingan kedua-dua negara.

Tambah beliau, ia juga akan membantu dalam pemulihan dan pembangunan ekonomi masing-masing.

Dimaklumkan, Dewan Perdagangan Antarabangsa Thailand dan Jabatan Perniagaan Hainan akan menandatangani memorandum persefahaman untuk menggalakkan kerjasama perdagangan, terutamanya dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana, syarikat e-dagang rentas sempadan, dan penyelarasan perniagaan.

Switzerland yang menjadi tetamu utama ekspo berkenaan memaklumkan akan mempamerkan produk dan perkhidmatan baharu membabitkan lebih 20 jenama.

Pengerusi Persekutuan Switzerland, Guy Parmelin berkata, pihaknya mahu memperluas hubungan bilateral kedua-dua negara.

Difahamkan seramai 50 duta dari 21 buah negara termasuk Indonesia, Switzerland, Emiriah Arab Bersatu dan Perancis akan mengunjungi CICPE 2021.

Dengan keluasan pameran mencapai 80 ribu meter persegi, ekspo ini akan menjadi pameran terbesar seumpamanya di rantau Asia Pasifik.

Ruang pameran antarabangsa meliputi 60,000 meter persegi manakala bakinya pula adalah ruang pameran domestik dari seluruh negara.

Pada CICPE tersebut juga, dijadualkan sebanyak 81 majlis pelancaran perdana jenama antarabangsa akan diadakan, dengan penampilan lebih 100 produk baharu termasuk pakaian, beg, kosmetik, makanan, permata dan berlian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here